agro

Hikmah 'hijrah' Ahmad Shaupi

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Bagi golongan kurang upaya ingin berdikari dan bekerja sendiri, Ahmad Shaupi Ismail, 51, yang mengusahakan jeli kelapa muda boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi.

Pergerakannya yang terbatas kerana kudung kaki kanan sejak berusia 15 tahun disebabkan jangkitan kuman tidak menjadi penghalang untuk melakukan kerja memasak jeli dengan dibantu isteri, Rosiati Sukeimi, 53.

Jeli kelapa muda yang diusahakannya di bengkel pemprosesan Kampung Batu 9 Lekir di Sitiawan, Perak semakin mendapat perhatian dan digemari ramai hingga menerima tempahan dari luar negeri itu.

Pemanis mulut di bawah jenama Jelly Kelapa Muda D’Lekir itu mempunyai keistimewaan tersendiri yang memberikan kesegaran dengan rasa kemanisan air kelapa muda sebenar.

Menurut Ahmad Shaupi, pembabitannya dalam pemprosesan jeli kelapa muda bermula sembilan tahun lalu apabila dia mengambil keputusan ‘berhijrah’ kerja demi memberikan kehidupan yang lebih baik untuk keluarga.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai mekanik motosikal dan pernah menanam sayur-sayuran serta buah-buahan, namun tidak berhasil selain tidak menyangka usahanya membuat jeli kelapa membawa sinar baharu.

“Sebagai ketua keluarga saya mahu memberikan yang terbaik untuk isteri dan tiga anak biarpun berstatus orang kurang upaya (OKU). Ini kerana kejayaan itu bukan datang dari status sebaliknya usaha dan semangat,” katanya.

Ahmad Shaupi berkata, perniagaannya semakin berkembang selepas menyertai Program Pusat Inovasi Komuniti (CIC) yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan menerima bantuan keperluan mesin serta peralatan lengkap bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran.

Katanya, bermula dengan hanya 60 cawan sehari, pengeluaran dan jualan jeli kelapa muda yang diusahakan semakin meningkat antara 600 hingga 1,000 cawan bergantung kepada permintaan.

“Berbekalkan resipi ibu saudara, saya mengambil keputusan untuk membuat jeli kelapa dengan dibantu isteri dan anak biarpun kami pernah gagal beberapa kali sebelum berjaya dengan beberapa penambahbaikan.

“Untuk 1,000 cawan jeli kelapa saya menggunakan 100 biji kelapa selain bahan asas ringkas seperti gula dan garam dengan mula membuatnya seawal jam 3 pagi setiap hari,” katanya yang berasal dari Lekir, Sitiawan.

Ahmad Shaupi berkata, permintaan tinggi ketika musim panas, perayaan dan perkahwinan namun kekangan bekalan kelapa yang tidak mencukupi antara cabaran dihadapinya.

“Selain jeli kelapa cawan dalam dua saiz berbeza kami juga memasarkan jeli kelapa dalam botol. Pada masa sama saya juga ada cadangan untuk memasarkan jeli kelapa segera.

“Jeli kelapa ini dijual sendiri di pasar tani dan saya turut menerima tempahan daripada kantin sekolah, agensi kerajaan serta swasta. Malah turut menerima tempahan luar dari Johor, Kedah, Kuala Lumpur dan Melaka,” katanya.

Menurutnya, bergelar OKU bukan penghalang untuk berjaya biarpun pergerakan agak terbatas namun semua itu dapat diatasi dengan mencabar keupayaan diri bersaing dengan orang lain selain usaha, semangat dan keyakinan.

“Bantuan juga sangat penting namun usaha diri sendiri adalah penggerak utama jika kita mahu berjaya.

“Saya bersyukur dengan bantuan daripada CIC, agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian (DOA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membantu mengembangkan usaha ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 12:29pm
d