agro

Bekal ayam kampung organik

Oleh Mohamad Hussin

Ayam kampung organik terbukti mempunyai isi yang lebih padat, sihat dan 30 peratus rendah lemak berbanding ayam konvensional.

Permintaan terhadap ayam kampung organik adalah tinggi dan sering menjadi pilihan bagi yang mempunyai bilangan ahli keluarga ramai kerana bebas ancaman toksin hormon dan lebih enak.

Potongan daging yang lebih padat, berprotein dan tempoh memasak menjimatkan menjadikannya pilihan praktikal bagi rutin masakan harian.

Bezanya, ayam diternak secara komersial dipercayai mengandungi hormon, antibiotik dan sisa racun perosak yang boleh menjadi ancaman kepada kesihatan.

Oleh itu, peneraju pasaran pengeluaran ayam kampung organik Aqina berusaha mencapai dan mengekalkan mutu piawaian yang tinggi bagi pengeluaran ayam kampung organik.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Aqina Wesley Tan berkata, Aqina Farm berjaya menempa sejarah apabila diiktiraf sebagai syarikat pertama dan satu-satunya di Malaysia yang menerima dua skim pensijilan iaitu Skim Pensijilan Organik Malaysia (MyOrganic) dan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Beliau berkata, syarikat itu adalah pembekal pilihan daging sihat yang dikenali sebagai peneraju ladang ayam kampung sejak 20 tahun lalu.

“Ia juga dikenali sebagai salah satu syarikat pengeluar ayam kampung terbesar di negara ini. Beroperasi sebagai pusat sembelihan halal yang disahkan merangkap pusat pemprosesan di Taman Perindustrian Ulu Choh, Pekan Nanas, Johor.

“Kami mempunyai kapasiti pengeluaran 6,000 ekor ayam setiap jam. Kami mempunyai kepakaran menternak ayam kampung secara tradisional dan organik yang mengambil masa lebih lama iaitu lebih dari 70 hari bagi ayam mencapai ukuran optimumnya, tanpa pemberian antibiotik dan hormon pertumbuhan.

“Kami percaya proses tumbesaran dan pemakanan lebih baik serta pergerakan yang aktif akan membuatkan ayam kampung lebih berkualiti dan enak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran ayam kampung organik jenama Aqina dan penyampaian sijil MyOrganic serta MyGAP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) Yasser Arafat Zainal Rashid.

Wesley berkata, ayam kampung organik mengambil dua kali ganda masa untuk mencapai berat pasaran iaitu kira-kira 81 hari kerana mereka tidak menukar makanan menjadi otot dengan begitu cepat jika dibandingkan dengan ayam komersial biasa.

“Ayam kampung organik ini adalah unik dan mewakili kualiti yang paling tinggi bagi ternakan di dalam pasaran organik apabila makanan bagi ayam diformulasi khas menggunakan formula kami sendiri.

“Ia mengandungi enzim bromelain semula jadi hanya boleh didapati daripada nanas MD2 yang turut mengandungi vitamin C dan B1, kalium, mangan dan fitonutrien.

“Kami yakin ayam kami bukan saja pilihan yang lebih sihat, tapi dagingnya juga lebih lembut untuk hidangan harian anda,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap untuk terus berkembang dan melabur dalam pemprosesan ternakan dan penghasilan termasuk penternakan ayam kampung. Selain itu, menjadi pembekal inovatif untuk menjadi pilihan daging yang lebih sihat kepada pengguna di seluruh negara.

“Ia termasuk eksport ke luar negara termasuk Singapura dan negara ASEAN lain melalui pemborong, peruncit serta juga rantaian makanan atau minuman,” katanya.

Sementara itu, pakar runding veterinar Aqina, Dr Gulam Shah Faizal Din berkata, kepentingan enzim bromelain sebagai probiotik dalam diet ayam.

Beliau berkata, enzim ini membantu meningkatkan imuniti dan memudahkan pencernaan.

“Kami membekalkan ayam kampung organik yang bebas daripada sisa antibiotik, hormon pertumbuhan dan mampu berdaya saing dengan ayam yang dipelihara secara konvensional,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 2:52pm
d