agro

Kaedah pendebungaan baru MMT

Oleh Mohamad Hussin

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menghasilkan kaedah pendebungaan baru tanaman fertigasi melon manis Terengganu (MMT), yang sekali gus mempercepatkan proses dan menghasilkan buah yang lebih berkualiti.

Timbalan Dekan (Bakat dan Penyelidikan), Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT Prof Madya Dr Wahizatul Afzan Azmi berkata, projek ini berupaya meningkatkan pengeluaran hasil MMT dan mengurangkan kos buruh untuk pendebungaan bagi penghasilan set buah.

Beliau berkata, kaedah pendebungaan lebah kelulut ke atas tanaman fertigasi melon yang diperkenalkan ini dapat mengatasi masalah ketidakcekapan pendebungaan secara manual.

“Sebelum ini, ia dilakukan seperti kaedah geitonogami dan pendebungaan kacuk silang.

“Kaedah pendebungaan kelulut juga lebih cekap berbanding kaedah pendebungaan manual yang mengambil masa agak lama, tenaga dan kos yang sangat tinggi terutama untuk penanaman berskala besar.

“Kelulut mempunyai keunikan tersendiri kerana ia adalah spesies serangga asli di Malaysia dan aktif sepanjang tahun. Ia juga tidak memerlukan kos yang besar untuk dipelihara dan tidak membahayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, Manir, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, pokok melon mempunyai bunga jenis monoecious iaitu bunga jantan dan betina terletak pada struktur bunga yang berasingan.

“Penanaman melon ini tidak akan menghasilkan set buah tanpa kaedah pendebungaan berbantu.

“Bagi mengatasi masalah ini, pendebungaan lebah kelulut menggantikan tenaga kerja buruh yang menggunakan pendebungaan tangan dapat mengurangkan kos operasi pendebungaan dan meringankan beban tugas pengusaha tanaman,” katanya.

Katanya, pengusaha tanaman juga dapat menjana pendapatan sampingan melalui produk hiliran madu kelulut hasil daripada penternakan kelulut di samping pengeluaran hasil pertanian.

Bagi menghasilkan produk MMT bermutu tinggi, petani perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dari segi penggunaan baja, pengawalan racun dan pencahayaan.

Buah yang direka khas untuk industri pertanian Terengganu itu bukan saja memiliki rasa manis dan buah yang rangup malah ia juga mempunyai khasiat tersendiri. Ia juga kaya antioksida, baik untuk kesihatan kulit, menguatkan antibodi badan, mengandungi vitamin A dan C, serta mampu mencegah penyakit kronik seperti kencing manis, angin ahmar dan jantung.

Disiarkan pada: September 14, 2018 @ 12:31pm
d