agro

Potensi jadi pengeksport beras

Oleh Mohamad Hussin

Padi, jagung dan gandum antara tanaman sumber karbohidrat yang memberi tenaga kepada hampir 60 peratus penduduk dunia. Apatah lagi padi pula menjadi makanan ruji atau asasi kepada 46 peratus atau hampir separuh penduduk dunia selain makanan utama kepada kira-kira 90 peratus penduduk Asia.

Ini menunjukkan betapa pentingnya tanaman padi kepada kesejahteraan umat dan kebergantungan masyarakat kepadanya. Secara purata, di negara yang makanan rujinya adalah nasi, setiap orang mengambil kira-kira 400 gram (g) beras untuk menghasilkan 2,100 kalori tenaga.

Hampir semua negara di Asia mengeluarkan beras sebagai sumber makanan penduduk. Namun, keadaan tanah dan cuaca yang berbeza menjadikan pengeluaran padi secara umumnya tidak dapat menampung keperluan di dalam negara.

Pada masa ini, pengeluar utama beras di dunia ialah China diikuti India, Indonesia, Bangladesh, Vietnam dan Thailand.

China mengeluarkan lebih 142.3 juta tan diikuti India sebanyak 110.4 juta tan sementara Indonesia 46.6 juta tan.

Secara umumnya industri padi dan beras negara berkembang pesat. Pengeluaran padi negara meningkat dari 1.9 juta tan pada 1990 kepada 3.5 juta tan pada 2016.

Walaupun kawasan pengeluaran padi secara umumnya tidak bertambah, pengeluaran padi terus meningkat. Peningkatan sebahagian besar disumbangkan kemajuan inovasi dan teknologi.

Memandangkan pengeluaran beras negara kita lebih rendah berbanding permintaan pasaran, Malaysia dianggap negara pengimport bersih.

Perdagangan beras menunjukkan 80 peratus daripada jumlah import beras Malaysia (anggaran di antara 700 hingga 900 ribu tan) didominasi beras putih. Sementara 20 peratus lagi membabitkan beras spesialti sama ada beras wangi, basmati, pulut dan sebagainya. Kadar import beras juga didapati meningkat setiap tahun dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 4.4 peratus.

Walaupun Malaysia mengimport sebahagian besar permintaan pasaran, ia masih boleh mengeksport beras ke negara lain. Analisis kelebihan bandingan juga menunjukkan Malaysia mempunyai faedah bandingan eksport yang positif terhadap beberapa negara seperti Filipina, Indonesia, Brunei dan Singapura bergantung kepada jenis beras dikaji.

Pada masa ini, Malaysia mengimport kira-kira satu juta tan beras setahun bernilai kira-kira RM1.4 bilion. Trend import beras menunjukkan peningkatan tiga hingga lima peratus setahun dan jika tidak dibendung ia boleh menjejaskan kedaulatan makanan negara.

Senario perdagangan beras antarabangsa menunjukkan Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk turut serta sebagai negara pengeksport komoditi ini.

Malaysia mempunyai kelebihan bandingan dalam menghasilkan beras berkualiti yang diperlukan pengguna di rantau Asia Timur, Asia Barat dan Sub-Sahara.

Oleh itu, Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) bekerjasama rapat dengan petani, pengilang, pemborong, pengawal selia untuk memastikan keselamatan makanan negara terjamin.

Ia juga memastikan pendapatan petani serta kestabilan dan akses kepada bekalan beras kepada pengguna melalui keseluruhan pengurusan yang berkesan terhadap kewajipannya.

Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS Ismail Mohamed Yusof berkata, BERNAS ditubuhkan pada 1996 dan mengendalikan perolehan, pemprosesan padi serta pengimportan, pergudangan, pengedaran dan pemasaran beras di Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya mengulangi sokongan terhadap industri padi dan beras tempatan dengan memastikan masyarakat petani padi tempatan, pihak berkepentingan serta semua pengguna kepentingan terbaiknya dijamin selama beberapa dekad.

“Di bawah mekanisme ini, BERNAS terus memastikan kebajikan petani terbela sementara bekalan dan ketersediaan beras kepada pengguna kekal pada harga yang stabil serta berpatutan.

“Sebagai tambahan untuk menjaga keselamatan makanan, BERNAS juga mengekalkan kualiti penuaian padi tempatan melalui proses penggredan dan beras yang diimport menerusi juruukur kualiti.

“Selama lebih dua dekad, BERNAS bertanggungjawab untuk mengekalkan keselamatan makanan terutama dengan menjaga pendapatan petani melalui memastikan pengeluaran penuh beras tempatan dan akses pengguna ke beras harga yang stabil serta berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan taklimat media BERNAS di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Ismail berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta semua pihak berkepentingan industri untuk menentukan model operasi terbaik yang sesuai dengan industri padi dan beras tempatan.

“Kami akan terus menyampaikan dan menunaikan tanggungjawab kepada industri secara profesional dan tekun. BERNAS mengalu-alukan sebarang jemputan untuk membincangkan berkenaan bagaimana kami boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada industri.

“Rangkaian industri dilaksanakan secara holistik yang membabitkan kepentingan tiga polisi utama iaitu kebajikan pesawah, keselamatan makanan dan keperluan serta kepentingan pengguna.

“Industri padi dan beras direka untuk mengimbangi objektif ketiga-tiga polisi berkenaan. Namun, secara dasarnya ialah memastikan paras keselamatan makanan negara berada pada tahap paling baik,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan sistem yang holistik akan membantu mengekalkan kemampanan industri padi dan beras negara, sekali gus tidak meminggirkan kebajikan pesawah.

“Kontrak BERNAS berakhir pada 2021 dan hingga tempoh berkenaan BERNAS akan terus melaksanakan peranannya sebagai pengawal selia tunggal dalam industri,” katanya.

Empat strategi mentransformasikan industri padi dan beras negara dieksport ke luar negara

A. Meningkatkan daya saing industri padi dan beras

B. Memposisikan beras Malaysia sebagai produk premium

C. Menyediakan perkhidmatan sokongan bagi meningkatkan kapasiti untuk eksport

D. Menjenamakan beras Malaysia di pasaran antarabangsa

Disiarkan pada: September 14, 2018 @ 12:52pm
d