agro

Sumber protein daripada serangga

Oleh Mohamad Hussin

Syarikat perintis bioteknologi yang berpangkalan di British iaitu Nutrition Technologies memilih Malaysia sebagai pusat pengeluaran protein alternatif untuk makanan haiwan terutama ayam dan ikan.

Gabungan pengetahuan dan kepakaran tempatan yang berjaya dari segi tenaga kerja digabungkan dengan modal serta teknologi syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nutrition Technologies Nick Piggott berkata, pihaknya memainkan peranan penting untuk membantu meningkatkan keselamatan makanan global.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah Bahagian Ekonomi dan Pelaburan, Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) Johor Engku Ahmad Kamel bersama Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Vicki Treadell. Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Nutrition Technologies Thomas Berry.

Piggott berkata, pihaknya menghasilkan protein dan juga minyak daripada ‘black soldier fly larvae’ (BSFL) yang mempunyai asid amino serta profil asid lemak setaraf dengan ikan.

“Ia boleh menggantikan sumber protein di dalam makanan haiwan ternakan yang kebiasaannya menggunakan ikan semakin tidak mencukupi jumlahnya.

“Apatah lagi ia disebabkan masalah penangkapan ikan berlebihan. Visi penubuhan syarikat ini adalah sebagai pengeluar dan pembekal protein alternatif terbesar di dunia serta menghentikan defisit protein yang semakin meningkat,” katanya.

Katanya, kilang Nutrion Technologies di Senai mempunyai kapasiti 40 tan pengeluaran produk setiap bulan. Ia dijangka meningkat kepada 1,000 tan sebulan pada pertengahan 2019 apabila kilang seterusnya sudah beroperasi.

Sementara itu, Vicki berkata, pihaknya gembira kerana satu lagi syarikat negaranya memilih untuk melabur di Malaysia sekali gus merapatkan lagi hubungan diplomatik.

“Kehadiran Nutrition Technologies dari perkongsian Global Britain dengan New Malaysia. Rangkaian meluaskan pelaburan di Malaysia menyumbang kepada ekonomi yang pelbagai dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Bermula dari United Kingdom, Singapura, Vietnam dan sekarang di Malaysia, kami bercita-cita serta bersedia mengembangkan operasi di seluruh Asia Tenggara dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.

Menurutnya, dengan keadaan cuaca ideal, sumber bahan mentah yang banyak tersedia, kemahiran dan semangat profesional menyebabkan Malaysia pilihan semula jadi sebagai tapak pengeluaran utama mereka.

“Dijangkakan pengeluaran makanan global bakal meningkat 60 peratus pada 2050 untuk membekalkan makanan kepada pertambahan populasi sebanyak tiga bilion manusia.

“Oleh itu, kita perlu memulakan dengan memberi tumpuan kepada cara baru untuk meningkatkan pengeluaran ternakan sekali gus mencari sumber baru protein gred tinggi bagi makanan haiwan.

“Jadi kami menggunakan serangga untuk mengitar semula nutrien daripada sisa makanan bagi menghasilkan satu sumber protein dan minyak yang mampan untuk memberi makan kepada ayam dan ikan dengan lebih cekap,” katanya selepas majlis perasmian kilang berkenaan di Senai, Johor, baru-baru ini.

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 3:36pm
d