agro

Penuhi harapan rakyat

Oleh Mohamad Hussin

Jabatan Perikanan (DOF) terus komited untuk menjayakan Program Transformasi Agromakanan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) sekali gus merangka landskap sektor perikanan menjangkau ke 2030.

Ia selaras dengan hasrat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) ke arah masa depan industri yang terus berjaya berdasarkan pembabitan belia, pihak industri dan kumpulan sasar.

Pengeluaran sektor perikanan di Malaysia pada 2017 adalah sebanyak 1.93 juta tan metrik dengan nilaian RM14.1 bilion, peningkatan 2.8 peratus dari segi nilai berbanding 2016.

Sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi subsektor perikanan pula kekal pada 0.9 peratus dengan defisit imbangan yang berkurang sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi berkata, prinsip tadbir urus yang baik perlu dipikul semua penjawat awam ke arah pemantapan sistem penyampaian dan pentadbiran negara yang berkesan.

“Penjawat awam yang beretika, berakauntabiliti dan berintegriti berpaksikan ajaran agama, menuntut kita mengamalkan etika ‘kerja sebagai ibadah’ dan menjunjung tinggi nilai murni dalam perkhidmatan.

“Sistem penyampaian kerajaan berkesan diukur apabila kita mampu mengawal tingkah laku dan amalan yang boleh menjejaskan sistem pentadbiran negara seperti rasuah, penyelewengan serta boros di dalam penggunaan sumber negara.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita semua dalam memastikan kedudukan DOF sebagai organisasi yang punyai sistem yang dinamik, efektif dan cekap seperti yang diharapkan pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pegawai-Pegawai Kanan DOF 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, baru-baru ini.

Tema persidangan adalah Kelestarian Sumber Perikanan Menjamin Bekalan Makanan Negara selaras dengan usaha DOF dalam membantu menjamin kecukupan bekalan makanan, memenuhi permintaan dan harapan rakyat, kumpulan sasar serta kepimpinan negara.

Munir berkata, bagi memacu penjawat awam DOF yang berkaliber, satu penyediaan model pembangunan modal insan berdasarkan Value, Attitude, Skill, Knowledge and Action (VASKA) akan dirangka dalam strategi bagi melahirkan sikap yang perlu diterapkan warga DOF untuk memenuhi harapan kumpulan sasar dan rakyat.

Selain itu, katanya, persidangan pada kali ini memberi penekanan kepada tujuh perkara penting yang menjadi tumpuan utama di dalam melaksanakan fungsi untuk menyelaras pembangunan subsektor perikanan negara serta mengurus sumber perikanan secara mapan.

“Ia meliputi sektor perikanan tangkapan, pembangunan akuakultur, penyelidikan perikanan, penguatkuasaan perikanan, hubungan antarabangsa dan biosekuriti perikanan, modal insan serta pemodenan vesel penangkapan ikan.

“Dalam industri kerang-kerangan sejak 10 tahun kebelakangan ini umpamanya menunjukkan 26 peratus penurunan pendaratan kerang di negeri pengeluar kerang utama iaitu Selangor dan Perak. Namun kini Johor antara pengeluar kerang-kerangan utama di Malaysia khususnya kerang serta kupang.

“Ia dilihat sangat berpotensi untuk menjadi negeri pengeluar kerang-kerangan. Oleh itu, MOA membentuk satu jawatankuasa Kokus Kerang-Kerangan di Malaysia untuk menjadikan Johor sebagai Hub Kerang-Kerangan. Kokus ini berkuat kuasa pada 1 September lalu bagi tempoh dua tahun,” katanya.

Sementara bagi pemodenan vesel penangkapan ikan pula, DOF memperkenalkan satu piawaian Garis Panduan Pembinaan Vesel Penangkapan Ikan.

“Inisiatif yang dilakukan ini dalam memacu industri perikanan negara apabila 12 standard piawaian diperkenalkan selaras dengan kod Persatuan Maritim Antarabangsa dan International Conventions dan International Association of Classification Societies (IACS) di samping memenuhi keperluan syarat negara pengimport.

“Ini bertepatan dengan dasar jabatan untuk tidak mengeluarkan permit laut dalam bagi bot terpakai atau dibeli dari luar negara kecuali hanya dibina di dalam negara selain mewujudkan peluang perniagaan yang besar untuk industri pelabuhan perikanan tempatan umumnya,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 12:48pm
d