agro

Pemusnah hasil laut

Oleh Mohamad Hussin

Kuala Lumpur: Segelintir nelayan pukat tunda terutama Zon B menangkap ikan baja menjejaskan industri perikanan tempatan dan menyebabkan kerugian kepada negara dalam jangka panjang.

Difahamkan, setiap tahun, 150,000 tan metrik ikan baja didaratkan dengan menggunakan pukat tunda dan tangkapan tertinggi daripada bot Zon B.

Demi memelihara anak ikan dan sumber perikanan negara, semua pukat tunda perlu dikeluarkan dari Zon B menjelang tahun 2020.

Sumber Jabatan Perikanan (DOF ) berkata, penggunaan pukat tunda terutama di Zon B mengganggu habitat pembiakan anak ikan bernilai tinggi.

“Turut terjejas penyu dan batu karang. Kemusnahan batu karang pula menyebabkan kerosakan pukat nelayan tradisional hingga menjejaskan pendapatan mereka.

“Komposisi tangkapan ikan baja bagi setiap bot pukat tunda tinggi iaitu antara 40 hingga 60 peratus. Selain itu anak ikan ditangkap membabitkan spesies komersial bernilai tinggi.

“Kalau tidak diganggu, anak ikan ini mampu membesar dan memberikan pulangan tinggi kepada industri perikanan tempatan,” katanya.

Katanya, contoh anak ikan ditangkap adalah seperti ikan merah dan jenahak sememangnya mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

Menurut sumber, jika aktiviti penangkapan berlaku secara berterusan, sudah pasti spesies ikan popular dan berharga akan pupus.

“Biomass ikan demersal (ikan baja) di Pantai Barat Semenanjung Malaysia merosot 75 peratus iaitu daripada empat tan metrik kepada hanya satu tan metrik.

“Manakala di Pantai Timur Semenanjung merosot lebih teruk iaitu 95 peratus (10.5 tan metrik kepada 0.5 tan metrik).

“Peraturan akan dikuatkuasakan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana pukat tunda saiz lama yang lebih kecil lubang jaringnya selama ini banyak memerangkap ikan kecil yang kemudian dijadikan ikan baja,” katanya.

Menurutnya, kegiatan penangkapan ikan nelayan pukat tunda menyumbang kepada pembekalan ikan baja untuk industri akuakultur negara iaitu kepada penternak ikan di dalam sangkar.

“Permintaan yang tinggi dengan tawaran harga menyebabkan pemilik bot pukat tunda meningkatkan aktiviti penangkapan, termasuk menceroboh kawasan tidak dibenarkan.

“Antara langkah menangani perkara ini yang sudah diambil DOF adalah menetapkan saiz mata pukat di bahagian keroncong tidak kurang dari 38 milimeter. Ini mengurangkan hasil tangkapan ikan bersaiz kecil atau ikan baja,” katanya.

Selain itu, DOF sentiasa bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi menghalang bot pukat tunda daripada menceroboh Zon A.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 12:01pm
d