agro

Cili Siam fertigasi

Oleh Aniza Zainudin

SIAPA makan cili, dialah terasa pedas!

Pepatah Melayu yang mengambil kira sifat tanaman popular dan menjadi resmi masyarakat tempatan dalam bidang masakan iaitu cili.

Projek penanaman cili kini semakin popular dalam kalangan masyarakat apatah lagi ia mempunyai potensi dan permintaan besar dalam pasaran tempatan.

Potensi bidang penanaman cili turut terbukti menerusi laporan Statistik Tanaman (Sub Sektor Tanaman Makanan) 2018, Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan projek penanaman cili secara fertigasi terbuka mampu meraih keuntungan bersih sebanyak RM275,619 bagi 1,000 polibeg dalam tempoh lima tahun.

Laporan yang sama turut mendedahkan projek penanaman cili bagi tahun berkenaan menggunakan kira-kira 3,195 hektar keluasan tapak penanaman dan berjaya mengeluarkan hasil 33,755 tan metrik.

Mengambil inisiatif sama, pemilik ladang cili fertigasi terbuka, Fairuz Sofian memulakan langkah untuk menceburi lapangan ini sejak dua tahun lalu, di Kampung Temau, Raub, Pahang.

Memikul tanggungjawab untuk menguruskan penanaman cili fertigasi terbuka, dia mengakui tidak pernah mengikuti kursus berkaitan penanaman cili.

Sebaliknya, petani berusia 35 tahun ini hanya berkunjung ke ladang cili fertigasi bersama abang yang turut sama mengusahakan projek itu sekitar 2014.

Lawatan itu membuka mata dan menarik minat Fairuz menceburi bidang pertanian dan perladangan cili.

Selain membuat pembacaan dan rujukan, dia mendapatkan pengetahuan, maklumat dan pengalaman daripada pengusaha cili serta tanaman lain seperti timun, kacang bendi, terung dan sebagainya.

"Projek penanaman cili fertigasi dilakukan di kawasan tanah lapang di sekitar rumah keluarga seluas setengah ekar dan dibahagikan kepada empat kawasan.

"Berbekalkan keluasan sederhana ini, saya menanam kira-kira 3,000 pokok cili yang sudah berbuah.

"Di sini, saya fokus kepada projek penanaman cili hibrid dipanggil F1 Picter Pan atau lebih dikenali sebagai lada siam panjang.

"Jenis cili ini masih baru di pasaran namun mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan penduduk tempatan di Raub, Temerloh dan daerah yang lain serta pasar raya dan pasar borong," katanya.

Menggunakan teknologi fertigasi, Fairuz berkata, teknik ini terbukti memberi kesan yang positif terhadap tanaman cili apabila proses pembajaan dan pengairan dilakukan secara serentak.

Bagi memastikan kaedah penanaman alternatif ini berjaya, tapak penanaman seharusnya memenuhi kriteria penting, sumber air bersih dan berterusan sama ada dari kolam, tasik, sungai serta perigi.

Berbanding menggunakan tanah sebagai medium utama, petani ini memanfaatkan material sabut kelapa atau coco peat sekali gus dapat mengelakkan pokok cili mudah rosak, tercemar dan mendapat serangan serangga perosak.

"Bagi proses semaian, saya menggunakan bekas berlubang dan memastikan penyiraman benih dilakukan setiap pagi dan petang. Selalunya anak benih akan bercambah dalam jangka masa 44 hari.

"Sementara menanti anak benih cambah, selalunya saya akan mempersiapkan tapak tanaman dan menaik taraf ladang terutama sistem fertigasi.

"Apabila anak benih sudah bercambah, saya akan memindahkannya ke dalam polibeg dan meneruskan proses penjagaan selama sebulan. Saya turut melakukan pembajaan seperti penggunaan baja foliar organik dengan kekerapan tertentu.

"Selepas tempoh itu, pokok cili akan berbunga dalam jangka masa seminggu dan proses penghasilan buah kira-kira 21 hari," katanya yang menganggarkan pengeluaran satu tan sebulan.

Mengulas mengenai trend tanaman cili, Fairuz mengakui seronok melihat persaingan positif pengusaha hari ini yang lebih berani mengambil langkah untuk maju dan serius.

Katanya, hasil jualan cili turut berkembang apabila wujud persaingan harga bagi memastikan pengusaha lebih berdedikasi dalam bidang ini. Pada masa sama, perkembangan ini membantu pengusaha menambah pendapatan sampingan.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 6:01am
d