agro

Tingkat pendapatan petani

Oleh Zaitie Satibi

SEKTOR pertanian kian berkembang pesat. Jika dahulu pertanian sering didefinisikan hanya kegiatan bercucuk tanam, kini ia dianggap sebagai keseluruhan proses mulai dari pengeluaran oleh petani hingga produk sampai ke tangan pengguna.

Kebaikan sektor pertanian kepada negara ini ia dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

Malah, sektor ini juga menjanjikan pulangan lumayan kepada pihak mengusahakannya secara bersungguh-sungguh.

Sektor pertanian tidak pernah dipinggirkan kerajaan.

Banyak langkah yang dibuat kerajaan untuk memajukan lagi sektor pertanian negara.

Ia dilihat antara usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia seterusnya membantu menambah pendapatan.

Dalam usaha menjadikan pertanian sebagai perniagaan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi agensinya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), memperkenalkan Program Ladang Kontrak sebagai satu mekanisme membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana memasarkan hasil tani mereka.

Program itu memberi jaminan pasaran melalui konsep kontrak pemasaran di antara pengeluar dengan FAMA atau usahawan tani.

Ia dijalankan secara integrasi di bawah konsep MOA Inc membabitkan agensi lain seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.

Termasuk juga Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Agrobank, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah serta Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak.

Menjamin kewujudan pasaran dan seterusnya meningkatkan pendapatan pengeluar, di samping mempertingkatkan pengeluaran buah-buahan serta sayur-sayuran melalui perancangan pengeluaran dan pemasaran bersistematik antara objektif program ini.

Selain itu, program itu untuk mempertingkatkan pengeluaran buah-buahan dan sayuran melalui perancangan pengeluaran dan pemasaran bersistematik serta mempercepatkan pemindahan teknologi dalam rantaian bekalan.

Skop program membabitkan petani di bawah pengelolaan agensi kerajaan lain yang bekerjasama.

Manakala FAMA dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia bertindak sebagai pembeli dan bersetuju menjamin pasaran hasil tanaman dengan petani mengeluarkan hasil tanaman mengikut jenis, varieti, kualiti, gred, pembungkusan dan jadual pengeluaran yang ditetapkan.

Seterusnya, program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dianjurkan FAMA sebagai inisiatif menyediakan outlet pemasaran kepada usahawan yang juga peserta ladang kontrak mempromosikan produk hasil pertanian dan industri asas tani kepada pengguna pada harga yang berpatutan.

JTDL mampu menawarkan harga lebih berpatutan kepada pengguna iaitu lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dan harga yang munasabah kepada pengeluar sekitar 50 peratus daripada harga pengguna.

Program sebegini menggalakkan peserta ladang kontrak membuat jualan terus hasil pertanian masing-masing kepada pengguna tanpa membabitkan orang tengah dan dengan ini mereka mampu mendapat pulangan tinggi.

Impak JTDL bukan saja memberi pendedahan kepada peserta bagi membuat jualan produk yang lebih kemas, tersusun dan teratur, malah mendisiplinkan mereka dengan pematuhan peraturan ditetapkan outlet serta didedahkan dengan kemahiran berhadapan dengan pelanggan.

Bagi pengguna, mereka dapat membuat belian sayuran dan buah-buahan terus daripada ladang, pada masa sama didedahkan dengan ilmu dan pengetahuan dalam bidang pertanian dengan pertemuan terus dengan petani.

Cara itu membantu mengurangkan kos sara hidup dengan pembelian dengan harga yang lebih rendah dari pasaran.

Dalam JTDL, pelbagai produk pertanian segar ditawarkan pada harga berpatutan kepada pengguna diadakan di lokasi terbuka seperti pekarangan pejabat FAMA, pasar tani, tapak ekspo dan pasar raya.

Pada tahun ini, FAMA meluaskan program JTDL di lapan pasar raya seluruh Malaysia bermula Mac hingga Oktober lalu, berbanding hanya satu pasar raya tahun lalu.

Sepanjang tempoh berkenaan, jumlah jualan keseluruhan JTDL di lapan pasar raya berkenaan mencecah RM1.3 juta dengan bilangan usahawan 143 orang.

Nilai jualan JTDL di lokasi selain pasar raya mencatat RM4.3 juta dengan bilangan keseluruhan penganjuran 485 kali membabitkan 860 usahawan.

Secara keseluruhan nilai jualan JTDL di semua saluran pemasaran mencatatkan jumlah RM5.6 juta sehingga September lalu.

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 5:01am
d