agro

Jadi buruan dek kemanisannya

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PADA mulanya dia hanya menyewakan tanah milik arwah ayahnya di Pulau Kerbau, Tumpat kepada individu lain untuk aktiviti pertanian.

Bagaimanapun, selepas berdepan masalah dengan penyewa tanah itu, Mohd Alida 'em Ibrahim, 46, mengambil keputusan mengusahakan nanas 'cobek' yang diketahui daripada rakannya.

Difahamkan di Kelantan, ada satu lagi kebun nanas 'cobek' di Kuala Krai, namun jumlahnya tidak sebanyak yang dimiliki Mohd Alida.

Dia menjadi antara individu yang terawal menanam nanas varieti itu di Kelantan sejak Jun tahun lalu.

Uniknya, berbanding nanas jenis lain, untuk dimakan buah jenis ini hanya perlu dicubit dengan jari tanpa menggunakan pisau.

Jadi tidak hairanlah, dari mana nanas 'cobek' ini mendapat namanya.

Rasanya yang manis dan sedap sentiasa menjadi buruan peminat nanas sehingga ada pembeli dikatakan menjual nanas 'cobek ' palsu.

Nanas ini kini mula mendapat perhatian ramai termasuk Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang mahu mendaftarkan di bawah varieti nanas kebangsaan, AC 13 dalam masa terdekat.

Pengerusi LPNM, Datuk Abdul Malik Abul Kassim yang melawat kebun milik Mohd Alida baru-baru ini dilaporkan berkata pendaftaran itu akan dimohon menerusi Jabatan Pertanian Putrajaya sebaik selesai proses penyelidikan.

"Saya menanam nanas 'cobek' bersama MD2 itu di atas tanah seluas 8.09 hektar milik arwah ayah. Selain berpotensi besar, nanas juga boleh ditanam dalam kuantiti yang banyak berbanding tanaman lain.

"Ketika ini, saya difahamkan tanaman jenis ini masih kurang kerana masih baru diperkenalkan.

"Saya tanam secara berperingkat untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

"Alhamdulillah, sejak mula menanam nanas ini, ia mendapat sambutan menggalakkan dan permintaan tinggi kerana rasanya yang manis," kata Mohd Alida.

Menurutnya, dia turut mempelajari teknik menanam nanas LPNN yang banyak membantu penjagaan tanaman itu.

"Penjagaan nanas ini mudah dan tidak memerlukan penjagaan rapi.

"Penggunaan air tidak banyak dan baja perlu diberikan dalam tempoh tiga bulan sekali. Hasil akan diperoleh sekitar setahun dengan berat boleh mencecah sehingga dua kilogram.

"Bagaimanapun, kita perlu berjaga-jaga dengan haiwan perosak termasuk babi, kera dan monyet selain masalah banjir," katanya yang juga seorang kontraktor.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Mohd Alida ingin memperbanyakkan lagi nanas 'cobek' yang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.

"Kini jumlah sedia ada belum mencukupi untuk menampung permintaan pasaran.

"Saya juga sedia membantu orang ramai yang ingin bersama-sama menanam tanaman ini," katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 6:00am
d