agro

Buah tin cepat tuai

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SIAPA sangka, di sebalik kesibukan aktiviti seharian di Kajang, Selangor terdapat kebun seluas kira-kira 1.5 hektar yang ditanam pelbagai tanaman bernilai tinggi termasuk buah tin yang diusahakan bekas pengurus teknologi maklumat sejak 13 tahun lalu.

Buah tin atau nama saintifiknya Ficus Carica biasanya banyak ditanam di kawasan Asia Barat.

Ia dipercayai kaya dengan zat antioksidan, vitamin A, vitamin B1, vitamin B2, kalsium, zat besi, fosforus, mangan, sodium, potasium dan serat yang dapat membantu menjaga kesihatan badan.

Teksturnya yang lembut dan rasa lemak manis antara faktor mengapa ia digemari ramai.

Namun, meskipun mempunyai permintaan tinggi terutama untuk dipasarkan secara segar, tetapi masih tidak ramai yang berani mencuba untuk menanamnya di negara ini.

Kelebihan yang ada pada buah bernilai tinggi itu turut mendorong Marzuki Safiee, 60, untuk mengusahakannya di Taman Agro Fertigasi (TAF), Sungai Ramal, Kajang.

Selain buah tin, Marzuki turut mengusahakan tanaman anggur dan rock melon serta, sayuran bernilai tinggi seperti asparagus, bayam brazil, cili, kuchai, kailan serta banyak lagi.

Marzuki berkata, tanaman yang diusahakannya menggunakan konsep memaksimumkan ruang yang terhad untuk mendapat hasil dengan lebih cepat.

Terdapat lebih ribuan pokok daripada 450 jenis pokok tin dalam koleksinya namun hanya kurang 12 jenis yang dikomersilkan untuk pasaran di dalam negara ini.

"Ketika ini, hanya buah tin merah, kuning, hitam dan hijau yang dijual kepada orang ramai dan pemborong runcit.

"Setiap jenis mempunyai berat berbeza iaitu 80 hingga 90 gram (g) bagi buah tin merah, 70g hingga 80g buah tin hijau dan kuning manakala berat buah tin hitam adalah sekitar 60g hingga 70g sahaja," katanya.

Menurut Marzuki, lebih menariknya pokok itu tidak memerlukan kawasan luas atau masa lama untuk dituai kerana sudah mula mengeluarkan hasil pada bulan keempat hingga keenam penanamannya.

Kata Marzuki, dia menggunakan pelbagai kaedah penanaman seperti tut dan setiap pokok mampu mengeluarkan sehingga 150 buah.

Katanya, ketika musim buah tin berbuah, dia memperoleh sekitar 30 hingga 40 kilogram (kg) sehari dan pernah mencapai sehingga 70kg sehari.

"Selain berubah warna, buah yang sudah masak ranum juga senang dikenal pasti kerana biasanya ia akan pecah sedikit di bahagian bawah.

"Kita di Malaysia bertuah kerana faktor cuaca panas hampir sepanjang tahun turut membantu dalam tuaian hasil tanaman," katanya yang turut menjual hasil tanaman buah tin kepada orang ramai dan pemborong runcit dari seluruh negara.

Mengulas lanjut, Marzuki berkata, kebanyakan benih pokok tin diimport khas dari negara eropah terutama Sepanyol, Itali dan Perancis.

Selain itu, benih berkualiti tinggi dari Amerika Syarikat turut menjadi pilihan Marzuki untuk ditanam di taman agro berkenaan.

Katanya, berbanding pokok tanaman bernilai tinggi lain, pokok tin mudah dijaga dan jarang diserang penyakit atau kulat.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada cara penjagaan dan kaedah tanamannya kerana jika sambil lewa menjaganya, pasti kualiti buah yang dihasilkan juga tidak seberapa.

"Di TAF pokok tin ditanam di dalam rumah pelindung hujan khas selain mendapat bekalan baja fertigasi serta air yang mencukupi.

"Apapun, saya percaya, dengan gabungan ilmu pengetahuan serta penggunaan teknologi moden, hasil tanaman pastinya lebih banyak, berkualiti dan cepat dituai," katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 6:10am
d