agro

Miliki tujuh sangkar dengan 160,000 tiram

Oleh Hafiz Ithnin

PADA mulanya penulis hanya berhasrat membuat liputan mengenai destinasi pelancongan di Sungai Merbok, Sungai Petani, Kedah yang begitu sinonim dengan kisah Lembah Bujangnya.

Tanpa disangka perjalanan kira-kira 15 minit menyusuri sungai itu menemukan penulis dengan penternak tiram yang ramah berkongsi pengalamannya mengusahakan ternakan hidupan air bernilai tinggi.

Sekitar lapan tahun lalu, pemilik Bakau Hijau, Mohamad Ridzwan Ishak yang lebih mesra disapa Pak Su bertemu Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (Cemacs), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Aileen Tan Shau Hwai.

Ternyata pertemuan itu titik tolak kepadanya bukan saja bergelar penternak dan usahawan semata-mata malah mampu menjadikan lokasi sekitarnya sebagai destinasi ekopelancongan berkonsepkan pendidikan.

Mohamad Ridzwan berkata, menternak tiram bukanlah sesuatu yang mudah kerana pada peringkat awal dia perlu memahami secara mendalam mengenai keperluan bagi memastikan hidupan air itu mampu hidup di dalam air tawar.

Peringkat pertama dia 'mengikuti' Dr Aileen untuk mempelajari teknik penternakan tiram bermula daripada mengenali cara memelihara benih tiram yang amat sensitif.

"Dalam tempoh tahun pertama itu banyak kepada aktiviti memantau keadaan benih tiram yang dibeli daripada penjual dari Balik Pulau, Pulau Pinang dan saya juga perlu peka dengan kualiti air bagi memastikan projek ini dapat diteruskan.

"Modal permulaan ketika itu sekitar RM40,000 bagi membeli benih tiram, membuat sangkar dan menyediakan kawasan tertutup bagi memantau anak tiram. Jadi saya memang sentiasa memastikan benih tiram itu terus sihat kerana tidak mahu modal hangus begitu saja," katanya.

Ternyata, tahun pertama menjadi perintis projek itu membuahkan hasil. Kini dia mempunyai tujuh sangkar menempatkan sekitar 160,000 tiram.

Beliau berkata, sebiji tiram mencapai tempoh matang untuk dijual mengambil masa antara tujuh bulan hingga setahun dengan harga pasaran boleh mencecah RM5 sebiji.

Katanya, permintaan tiram di pasaran juga agak tinggi terutama bagi memenuhi permintaan pemain industri hotel tempatan dan restoran makanan laut. Bagaimanapun, kapasiti yang dimilikinya tidak cukup untuk memenuhi permintaan.

"Jadi, tahun ini saya bercadang membuka sebuah lagi kawasan penternakan tiram yang baharu di sekitar Sungai Merbok ini juga supaya mempunyai lebih tinggi kapasiti penternakan tiram.

"Saya sasarkan untuk mempunyai antara 500,000 hingga satu juta tiram yang matang setahun untuk dipasarkan kerana ia sentiasa mempunyai permintaan bukan saja di Kedah malah di negeri lain," katanya.

Ditanya mengenai cabaran menternak tiram, katanya, perkara paling utama ialah memastikan kualiti air tidak tercemar kerana haiwan itu memakan plankton yang hidup di dalam air secara semula jadi.

"Selain itu, kebanyakan kerja lain ialah memastikan anak tiram yang masih kecil tidak diserang ketam dan sentiasa membersihkannya daripada teritip yang biasa melekat di cengkerangnya.

"Perkara paling penting ialah air sungai ini tidak dicemari bahan kimia kerana ia mengakibatkan plankton yang menjadi makanannya mati dan selain itu, hidupan ini juga memerlukan air sesuai untuk terus hidup," katanya.

Hasil penternakan tiram yang diusahakannya tidak sekadar berkisar mengenai keuntungan semata-mata berikutan ia adalah perniagaan.

Ini kerana Mohamad Ridzwan turut menjadikan lokasi itu sebagai destinasi pendidikan kepada pelajar tempatan dan luar negara bagi membuat penyelidikan tiram yang diusahakannya.

Katanya, kehadiran pelajar asing yang tinggal sambil membuat kajian di tempatnya sudah menjadi perkara biasa. Malah, tarikan lain yang terdapat di sekitar Sungai Merbok membolehkan usahawan itu menawarkan aktiviti ekopelancongan yang lain kepada pelancong.

"Di sini terdapat juga sebuah premis yang dibangunkan untuk membantu anak kampung dapatkan tuisyen dan pelajar dari universiti yang datang untuk mengadakan kajian mengenai tiram mereka turut membuat aktiviti sosial dengan mengajar mereka.

"Jadi, saya ingin menjadikan aktiviti ternakan tiram ini mampu memberi manfaat kepada penduduk dari segi membantu anak kampung untuk belajar dan menjana ekonomi," katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 6:55am
d