agro

Anggur tanaman menguntungkan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SELAIN epal dan oren, anggur antara buah-buahan import popular yang sentiasa mendapat permintaan tinggi.

Ia boleh dimakan secara segar dan ada yang turut dijadikan beberapa produk siap diproses seperti jus dan jem.

Anggur yang ada di pasaran dalam negara kita biasanya diimport dari negara luar, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa pengusaha tempatan mula mengusahakannya di Malaysia.

Antaranya, Marzuki Shafiee yang mengusahakan pelbagai tanaman bernilai tinggi termasuk anggur di Taman Agro Fertigasi miliknya di Sungai Ramal, Kajang.

Kebun seluas hampir 1.5 hektar itu diusahakan Marzuki sejak 13 tahun lalu selepas beralih dari bidang teknologi maklumat.

Sepanjang tempoh itu, selain anggur, Marzuki turut mengusahakan pelbagai jenis tanaman antaranya kailan, kucai, timun, rock melon, cili, asparagus, bayam brazil dan buah tin.

Mengulas mengenai tanaman anggur yang diusahakan, Marzuki berkata, ia dituai tiga kali setahun iaitu setiap empat bulan.

"Terdapat 300 pokok anggur ditanam di kebun ini dan kebanyakannya daripada jenis anggur merah dan anggur hitam.

"Ia mengeluarkan buah tanpa mengira musim tertentu kerana keadaan negara kita mengalami cuaca panas sepanjang tahun," katanya.

Menurut Marzuki, anggur tanaman bernilai tinggi yang mudah untuk dijaga dan menguntungkan.

Katanya, dengan bantuan lima lagi pekerja, setiap tanaman di kebun itu dipastikan mendapat bekalan air serta baja yang mencukupi.

Selain itu, tanaman terbabit juga dipantau menggunakan sistem teknologi terkini bagi memastikan kualitinya terjaga.

"Masalah serangan penyakit daripada serangga dapat dikawal kerana semua pokok anggur ditanam di dalam rumah pelindung hujan.

"Dengan kaedah penanaman fertigasi dan penjagaan yang betul, alhamdulillah, setiap pokok mampu mengeluarkan kira-kira lima kilogram buah setiap kali tuaian.

"Tanaman anggur ini sememangnya menguntungkan dan saya berharap dapat menambah bilangan tanaman pokok anggur pada masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, apa yang menariknya mengenai Taman Agro Fertigasi, ia turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, ketika kunjungan penulis dan jurugambar ke kebun itu baru-baru ini, Dr Mahathir (ketika itu masih menjawat jawatan Perdana Menteri) turut singgah seketika meninjau perkembangan tanaman di kebun berkenaan.

Marzuki berkata, Dr Mahathir memang tertarik dengan tanaman anggur di situ dan sebelum ini sudah dua kali beliau mengunjunginya.

"Tun sukakan tanaman dan beliau kelihatan teruja selain tidak melepaskan peluang memetik buah anggur yang ada.

"Selain beliau, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin juga sudah beberapa kali berkunjung ke Taman Agro Fertigasi ini, " katanya.

Sementara itu, Marzuki berkata, orang ramai juga boleh mendapatkan anggur dan tanaman lain yang ada di sini.

Katanya, orang ramai juga berpeluang mempelajari kaedah penanaman yang sesuai menerusi kursus yang diadakan.

"Pelajar sekolah mahupun universiti juga boleh datang ke kebun ini untuk melakukan lawatan sambil belajar.

"Impian saya adalah menjadikan taman ini tempat untuk pembelajaran dan dikomersialkan, " katanya yang mahu melihat industri pertanian negara berkembang pesat menggunakan teknologi moden. '

Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 6:30am
d