agro

Berkebun waktu malam

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

BERMULA sekadar hobi dengan memanfaatkan ruang yang ada, kini Wan Ahmad Nizam Wan Khazam, 40, mampu berbangga dengan hasil tanaman kebun sayur-sayuran organik di halaman rumahnya di Felda Melur Jengka 12, Pahang.

Wan Ahmad Nizam hanya bermula dengan enam bekas polisterina 20 tahun lalu dan kini lebih 600 pokok sayuran ditanam di sekitar halaman rumahnya.

Bekas penyelia sebuah restoran makanan laut di Subang Jaya, Selangor ini berkata, pada awalnya dia hanya menanam sayur untuk suka-suka, tetapi selepas melihat tanaman hidup subur, minatnya mula bercambah.

Kata Wan Ahmad Nizam, secara sedikit demi sedikit dia menanam pelbagai jenis sayur-sayuran di dalam kotak khas dan akhirnya ia memenuhi hampir keseluruhan kawasan rumah ibu bapanya.

"Antara sayur yang ditanam adalah pelbagai jenis sawi, salad, bayam, bayam Brazil, kailan, kubis, bunga kubis, selom, terung dan pelbagai jenis ulam.

"Kebanyakan sayuran yang ditanam adalah daripada jenis tanaman jangka pendek dan boleh dipetik antara dua hingga empat minggu," katanya kepada Agro.

Apa yang menarik mengenai sayuran yang ditanam Wan Ahmad Nizam, semuanya organik bebas racun serangga atau baja.

Katanya, dia menggunakan tanah hitam sawit sisa mendapan yang kaya dengan nutrien diperlukan sayur-sayuran.

"Menerusi penggunaan tanah jenis itu, tanaman sudah tidak memerlukan baja, namun penjagaannya perlu teliti kerana jika terlebih atau kurang air, ia mudah rosak.

"Bagaimanapun, bukan sepanjang tahun sayur-sayuran boleh ditanam kerana hanya dari Februari hingga Julai atau Ogos saja cuaca yang sesuai untuk tanaman seperti sawi, salad, dan kailan.

"Bulan selebihnya, saya akan gantikan dengan tanaman sayur-sayuran yang lebih berdaya tahan seperti terung, bendi, selom, pegaga, kangkung dan bayam Brazil," katanya.

Menurut Wan Ahmad Nizam, bagi mengatasi masalah serangan penyakit, dia akan menggilirkan tanaman dalam setiap kotak.

"Jika kuman atau bakteria menyerang sesuatu jenis sayur-sayuran, saya tidak akan menanam jenis yang sama selepas itu kerana perosak sudah 'arif' dengan daya ketahanannya.

"Ia digantikan dengan jenis tanaman lain bagi mengawal masalah serangan perosak berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, berbeza dengan pekebun lain, Wan Ahmad Nizam lebih gemar menguruskan kebun sayur pada sebelah malam kerana lebih tenang dan cuaca juga tidak panas.

Selain itu, waktu selepas hujan atau dari tengah malam hingga ke dinihari adalah waktu kegemaran siput dan serangga perosak lain.

"Biasanya, bermula tengah malam, saya atau ibu akan meninjau keseluruhan kawasan tanaman untuk mengutip siput atau serangga perosak lain.

"Kami tidak menggunakan racun serangga dan hanya mengutip satu persatu menggunakan tangan.

"Kadang-kadang, hampir waktu Subuh barulah selesai, namun penatnya tidak terasa kerana cuaca tidak panas," katanya.

Sayur-sayuran segar berkenaan dijual secara pukal dengan harga berpatutan kepada peniaga setempat dan ada pihak yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk membeli hasil tanaman mahupun benih anak pokok atau tanah hitam daripadanya.

"Saya tidak jual mahal kerana kos yang dikeluarkan tidak banyak apatah lagi tak perlukan baja atau racun serangga.

"Pulangan yang diterima hasil jualan tanaman, anak benih dan tanah tanaman itu memang berbaloi dan ia dapat membantu menambah pendapatan keluarga," katanya yang turut mengusahakan ladang kelapa sawit keluarganya.

Dalam pada itu, kesuburan tanaman sayuran Wan Ahmad Nizam turut menarik perhatian banyak pihak untuk melakukan lawatan secara berkumpulan.

Katanya, pihak Jabatan Pertanian daripada pelbagai negeri juga pernah datang melawat kebunnya dan dia turut berkesempatan berkongsi pengalaman penanaman sayur-sayuran secara organik.

"Sebenarnya, setakat datang untuk melawat kebun tiada masalah, tetapi jika diminta mengadakan bengkel atau kurus, saya keberatan kerana diri sendiri tidak mempunyai sebarang pendidikan formal dalam bidang pertanian," katanya.

Sementara itu, melihat potensi yang ada, Wan Ahmad Nizam kini mula mengusahakan tanaman sayur-sayuran pada skala lebih besar di ladang kelapa sawit milik keluarganya sejak awal tahun lalu.

Sebagai permulaan, dia menanam cili, terung dan pisang.

"Pertanian adalah satu jalan perniagaan dan jika berpeluang, saya mahu mengembangkan tanaman sayuran berkonsepkan 'home garden'," katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 6:30am
d