agro

Kebun dalam pondok hidroponik

Oleh Hafiz Ithnin

WAHID Misbah tidak menyangka lima tahun lalu aktiviti bercucuk tanam di tanah kosong di luar rumah yang sekadar hobi kini menjadi bekalan sayur-sayuran untuk dia sekeluarga.

Ruang tanah di luar rumahnya di Gombak, Selangor hanya sekitar 240 kaki persegi dimanfaatkan untuk bercucuk tanam pelbagai jenis sayur-sayuran dalam pelbagai platform termasuk hidroponik.

Kisahnya bermula lima tahun lalu apabila lelaki berusia 46 tahun itu menonton sebuah video aktiviti berkebun di media sosial dan bermula dari situ dia mengorak langkah bercucuk tanam menggunakan pelbagai kaedah tanaman.

Menerusi foto yang dikirimkan kepada penulis, kreativiti Wahid dalam mempelbagaikan platform tananam sememangnya menarik kerana boleh dikatakan jika terdapat bekas kosong yang mampu dikitar semula pasti menjadi medium untuknya bercucuk tanam.

Bakat dalam kemahiran bertukang yang dimiliki Wahid juga banyak memberi manfaat kepadanya untuk menggunakan bahan yang jika dilihat pada awalnya hanya sebuah 'sampah' berubah memberi manfaat untuk dijadikan bahan untuk berkebun.

Antaranya dikongsikan adalah pondok hidroponik yang terisi 120 pasu di dalamnya untuk menanam pelbagai sayur-sayuran antaranya kangkung, bayam, salad, daun sup dan kailan.

Wahid berkata, pondok hidroponik miliknya dibina menggunakan kayu dan paip terpakai yang sememangnya dapat menjimatkan kos untuk memilikinya kerana jika ingin memberi segalanya serba baharu pasti menelan belanja yang tinggi.

Katanya, untuk mendirikan pondok itu dia hanya mengeluarkan wang sekitar RM300 untuk membeli 120 pasu hidroponik dan benih sayuran yang banyak dijual secara dalam talian pada harga yang berpatutan.

"Mempunyai pondok hidroponik sendiri sememangnya menarik kerana kita dapat melihat sendiri sayuran yang di dalam pasu berkembang setiap hari. Jika hasilnya nampak positif lebih memberi semangat untuk saya bercucuk tanam menggunakan platform itu.

"Setakat ini, nampaknya hasil daripada berkebun secara hidroponik ini menampakkan hasil yang baik kerana saya amat mementingkan sistem pengaliran air yang baik memandangkan sayuran hidroponik cepat menyerap air yang ada di dalam 'batas," katanya.

Bagi memastikan air tidak kering, Wahid mempunyai sistem perpaipan yang membantu batas itu terisi air secara automatik jika air di dalamnya mula berkurangan.

Malah, bagi memastikan batas hidroponik miliknya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk dia memeriksa tempat takungan sekurang-kurangnya dua kali sehari ketika dalam proses pembesaran sayur-sayuran.

"Tanam sayuran secara hidroponik ini cukup mudah, kita kena pastikan air sentiasa mencukupi dan perlu sedikit kerajinan untuk memeriksa batas yang menjadi tempat takungan air kerana tidak mahu ia menjadi tempat nyamuk bertelur.

"Saya juga amat berpuas hati setakat ini dalam tempoh 30 hingga 40 hari, tanaman sayur di pondok hidroponik sudah boleh dituai hasilnya. Malah, dengan memulakan tananam secara berkala, hasil tuaian juga boleh didapati secara berterusan," katanya.

Wahid juga aktif di dalam Facebook sentiasa mengikuti perkembangan semasa aktiviti tanaman hidroponik bagi membolehkannya peka kepada keadaan terkini dan dapat menghasilkan sayur-sayuran yang segar serta tumbuh dengan baik.

Sementara itu, tidak sekadar memfokuskan kepada tanaman di pondok hidroponik, dia juga mempunyai lebih 50 pasu yang menanam pelbagai jenis tananam sayur lain seperti terung, lada benggala, kunyit, limau purut, lemon, pucuk manis dan tidak terkecuali sedang mencuba menyemai pokok durian di dalam pasu!

Katanya, tanah yang digunakan untuk tanaman di dalam pasu juga dibeli daripada nurseri yang mempunyai pelbagai jenis pilihan tanah berkualiti bagi membolehkan tanaman sayur hidup dengan baik.

Jelasnya, bagi menjadikan penggunaan tanah secara ekonomi dia juga menggunakan tanah yang digali sendiri untuk dicampurkan dengan tanah jenis baja dibeli dari nurseri. Malah, tanah yang sudah digunakan tidak dibuang begitu saja kerana ia juga boleh dicampurkan dengan tanah baharu.

"Dari segi baja, saya memilih menggunakan jenis organik kerana ia lebih selamat untuk digunakan. Meskipun harga yang dijual agak mahal, memastikan sayur-sayuran tidak dicemari dengan bahan kimia lebih utama.

"Disebabkan itu, bercucuk tanam sayur-sayuran sebenarnya lebih baik kerana kita dapat memastikan proses tanaman itu tidak dicampur bahan kimia dan kedua, dapat menjimatkan duit daripada membelinya di pasar," katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 6:45am
d