agro

Setiap hari 'belai' nanas

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PERTAMA kali menghubunginya, penulis tidak menyangka pada usia baru mencecah 26 tahun dia sudah terbabit dengan penanaman nanas.

Perbualan selama hampir satu jam, Mohd Nazirul Azfar Mohd Jais yang berasal dari Kuantan, Pahang itu tidak kekok bercerita mengenai pembabitannya dalam bidang pertanian.

Anak kedua daripada empat beradik ini bangga dengan pilihan kerjayanya sebagai petani berbanding rakan seusianya.

Dia mempunyai jiwa besar untuk menjadi usahawan tani nanas berjaya di negara ini dengan mempelbagaikan produk daripada nanas MD2.

Malah, dia yang mendapat dorongan daripada ibu bapanya, Mohd Jais Sulaiman, 56, dan Khairiah Sulong, 53, turut dibantu adiknya, Khuwarizmi Jufri, 21, yang turut menunjukkan minat sama terhadap pertanian.

Mohd Nazirul berkata, dia baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang pengurusan penerbangan pada tahun lalu.

Katanya, dalam proses mencari pekerjaan yang agak sukar dan lama, bapanya mencadangkan supaya mengusahakan tanaman nanas di tanah seluas 0.8 hektar milik ibunya di Maran.

"Oleh itu, pada awal tahun lalu, saya memulakan projek dengan membersihkan kawasan, membuat batas dan membina pagar atas tanah seluas 0.4 hektar dengan menggunakan modal sendiri.

"Pada masa sama, saya menyertai kursus penanaman nanas yang dianjurkan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) untuk memperoleh ilmu mengenai tanaman ini.

"Kemudian saya mendapat bantuan benih nanas sebanyak 17,600 pokok daripada LPNM untuk memulakan proses penanaman yang dijalankan pada Ogos tahun lalu," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pada peringkat awal, dia mendapat banyak tunjuk ajar dari LPNM membantu orang muda sepertinya yang baru berjinak-jinak dengan pertanian.

"Alhamdulillah, biarpun pada mulanya agak sukar, lama-kelamaan saya dapat biasakan diri dengan rutin baharu sebagai petani yang sebenarnya tidak sukar asalkan ada minat dan kesungguhan," katanya.

Tambahnya, ketika berada di Hari Peladang Penternak dan Nelayan peringkat Negeri Pahang 2019 pada tahun lalu, secara kebetulan dia mendapat maklumat mengenai penggunaan baja Higa yang sangat baik untuk nanas.

"Saya difahamkan baja ini membantu mempercepatkan pengutipan hasil dalam hanya tempoh 10 bulan berbanding 13 hingga 15 bulan dengan baja biasa. Selain itu, kualiti nanas dapat dipertingkatkan menjadi lebih manis dan wangi.

"Kemudian saya mengambil inisiatif untuk jumpa pembekal dan petani di Johor untuk mendapat maklumat lanjut sebelum bersetuju menggunakan baja itu.

"Selepas menggunakannya, biarpun sedikit mahal berbanding baja biasa, saya berpuas hati kerana ia berbaloi kerana dapat menjimatkan masa dan memperoleh nanas berkualiti," katanya.

Selain itu, Mohd Nazirul turut menjual sendiri hasil tanamannya di sekitar Kuantan dan Pekan tanpa menggunakan khidmat orang tengah.

"Biasanya pelanggan terdiri daripada rakan ibu dan bapa yang bekerja dan saya ada juga menghantar di beberapa pasar raya berhampiran.

"Setakat ini dari segi pasaran, saya tidak bimbang kerana sambutan yang diberikan sangat menggalakkan. Malah, saya turut pelbagaikan produk dari nanas dengan hasilkan air nanas dan jem," katanya.

Rutin harian Mohd Nazirul bermula selepas Subuh apabila dia bertolak dari rumahnya di Kuantan untuk ke kebun nanasnya.

"Biasanya saya mula kerja sekitar jam 8.30 pagi dengan lakukan pelbagai pekerjaan yang sudah dirancang termasuk meracun, membaja dan cabut rumput sehingga 1 tengah hari. Lebih penting adalah perancangan.

"Sebenarnya bahagian paling sukar adalah bahagian permulaan sahaja, selepas penanaman selesai, saya hanya perlu datang setiap hari untuk lihat perkembangan tanaman dan melakukan kerja sampingan," katanya.

Mengenai pembabitan golongan muda dalam bidang pertanian, Mohd Nazirul berpendapat mereka bukan tidak berminat namun berdepan masalah modal dan tanah.

"Kalau tiada tanah dan modal memang susah. Sebagai orang muda saya memahami masalah yang dihadapi kerana kebanyakan bantuan disediakan selepas mereka berjaya.

"Namun itu bukan alasan. Mereka boleh mulakan penanaman secara kecil-kecilan bergantung modal yang ada, sekali gus dapat memperoleh pengalaman mengenai pengurusan tanaman," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, dia melihat potensi besar nanas MD2 untuk dikomersialkan dengan lebih luas.

"Saya merancang untuk meluaskan lagi tanaman ini untuk menampung permintaan pasaran yang sangat tinggi

"Pada masa sama, saya ingin pelbagaikan lagi produk dari nanas untuk dijadikan sebagai air dan jem," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 6:50am
d