agro

'Pemakanan baik hasil pun baik'

Oleh Hafiz Ithnin

"SEHARI, hasil ternakan itik telur saya mampu menghasilkan antara 300 hingga 380 biji, itu pun belum dapat menampung permintaan pasaran," kata pengusaha itik telur, Hafedz Redzuan Abdul Razak.

Mengusahakan ternakan itu sejak 2017, dia tidak menyangka mampu memberi pendapatan yang memuaskan. Malah, kos operasi juga tidak terlalu besar.

Mempunyai ladang ternakan itik telur di Tebuk Jawa, Sabak Bernam, Selangor, lelaki berusia 42 tahun itu juga memaklumkan modal permulaan bagi membeli baka itik telur sejumlah 50 ekor pada peringkat awal kurang RM700.

"Mulanya saya mengusahakan ayam kampung dan melihat ada ramai pengusaha ternakan itu. Jadi, saya mula terfikir untuk mempelbagaikan perniagaan ternakan dan melihat itik telur sebagai satu daripadanya.

"Jadi, pada 2017 saya membeli 50 ekor itik telur di kedai unggas," katanya.

Hafedz Redzuan berkata, sehingga kini dia mempunyai 400 itik telur. Telurnya di pasarkan di sekitar kawasan setempat sehingga ke Negeri Sembilan, mengikut permintaan pelanggan.

Jelasnya, itik telur juga begitu unik kerana tidak memerlukan itik jantan bagi membolehkan si betina menghasilkan telur setiap hari. Kemampuan haiwan ternakan itu untuk bertelur dengan baik bergantung kepada jenis pemakanan yang diberikan.

Katanya lagi, itik telur juga mudah untuk dijaga kerana tahan lasak dan tidak mudah dijangkiti penyakit serta kadar kematiannya juga rendah. Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang boleh membantutkan proses pengeluaran telur antaranya tertekan dan mendapat ancaman pemangsa seperti biawak, ular serta anjing.

"Di ladang ternakan saya menggunakan konsep reban berpagar yang tidak mempunyai bumbung berkeluasan sekitar 0.4 hektar. Pada sebelah siang saya lepas ternakan ke sekitar reban bagi memastikan haiwan itu tidak 'tertekan'.

"Dari segi pemakanan pula saya berikan dedak khas untuk itik dan tidak mencampurkannya dengan makanan lain kerana faktor makanan amat penting bagi memastikan produktiviti pengeluaran telurnya," katanya.

Hafedz Redzuan berkata, itik telur juga tidak memerlukan penjagaan rapi dan tak terlalu bergantung kepada jumlah pekerja yang ramai memandangkan ketika ini hanya dia dan isteri, Norfarah Omar sahaja yang menguruskan operasi ternakan setiap hari.

Jelasnya, penjagaan reban juga amat penting bagi memastikan keadaannya sentiasa bersih selain berwaspada dengan kehadiran haiwan pemangsa.

"Pada masa sama, saya tidak membuat proses penetasan di sini dan hanya membeli itik telur yang sudah boleh bertelur. Strategi ini juga dapat membantu mengurangkan kos penjagaan memandangkan anak itik memerlukan penjagaan yang lebih rapi.

"Pada peringkat permulaan, saya memang beli yang masih kecil dengan harga RM3.80 seekor dan dalam tempoh empat hingga lima bulan, anak itik telur mula matang untuk mengeluarkan telur. Kini, saya membeli yang sudah matang saja," katanya.

Katanya, itik telur juga agak unik kerana tidak memerlukan itik jantan untuk bertelur melainkan untuk mendapatkan baka dan disebabkan itu, kebanyakan pengusaha itik telur hanya memerlukan itik betina.

"Daripada pengeluaran telur itu, saya juga membuat telur masin, tetapi ia bergantung kepada permintaan memandangkan ketika ini untuk telur biasa sahaja pun masih tidak dapat menampung permintaan pelanggan.

"Harga bagi sebiji telur biasa antara 50 sen hingga 70 sen sebiji dan telur masin antara 80 sen sehingga RM1 sebiji yang dijual kepada pembekal atau orang persendirian," katanya.

Katanya, bagi membolehkan mendapat maklumat mengenai penjagaan itik telur, Hafedz Redzuan mempunyai kumpulan WhatsApp yang ahlinya terdiri daripada rakan penternak haiwan berkenaan.

"Di dalam kumpulan itu kita biasanya berkongsi maklumat mengenai perkara yang boleh meningkatkan pengeluaran dan kebanyakan kami adalah penternak kecil-kecilan serta tidak begitu komersial.

"Jadi, jika itik telur sakit, mengalami kematian dan pemilihan jenis makanan misalnya, kami akan menggunakan platfrorm perbincangan itu untuk mendapatkan maklumat serta membantu antara satu sama lain," katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2020 @ 6:42am
d