agro

Hasil 100 anak ayam dalam seminggu

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

TAK kenal maka tak cinta.

Bermula hanya sekadar membantu bapa ketika berada di kampung kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, Mohd Yusof Zaki Yaacob kini mengorak langkah sebagai penternak ayam kampung berjaya.

Anak muda lulusan Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dari sebuah institusi pengajian tinggi awam di ibu kota ini sanggup berhenti kerja baru-baru ini demi memberi tumpuan kepada perniagaan ternakan ayam kampung yang diusahakan keluarganya di Pekan Jabi, Segamat, Johor.

Mohd Yusof, 30, berkata, ternakan ayam kampung di bawah label Ayam Kampung Atuk itu dimulakan bapanya sejak 2018, tetapi ketika itu hanya untuk dinikmati keluarga saja.

Sehinggalah pada akhir 2018, ternakan yang semakin bertambah mula dijual kepada peniaga dan pemborong sekitar daerah Segamat.

Kata Mohd Yusof, bermula dengan hanya 30 ekor, kini ternakan ayam kampung keluarganya sudah melebihi 1,000 ekor termasuk baka ayam kampung kacuk.

Malah, katanya, ayam dewasa yang siap diproses dijual RM18 sekilogram manakala ayam hidup jantan boleh mencecah RM45 seekor bergantung kepada baka dan keadaan fizikal.

"Ayam kampung betina (hidup) pula lebih murah iaitu RM18 sekilo.

"Anak ayam pula untuk dijual kepada penternak sekitar Segamat manakala telurnya dijual kepada peraih dan peniaga setempat.

"Alhamdulillah, setakat ini kami memang tidak menang tangan memenuhi tempahan baik daripada peraih, penternak dan orang perseorangan," katanya kepada Agro.

Menurut Mohd Yusof, secara purata, ladang ternakannya mampu mengeluarkan 100 ekor anak ayam kampung dalam masa seminggu.

Kata Mohd Yusof, anak ayam berusia seminggu dijual pada RM3.30 seekor dan kebanyakannya dibeli pengusaha ladang ternakan sekitar Segamat.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik ini lagi, berbanding haiwan ruminan lain, ayam kampung lebih mudah diternak kerana tidak memerlukan penjagaan yang rumit.

Katanya, jika dijaga dengan betul, ayam kampung juga jarang terkena serangan penyakit.

"Ayam kampung makan dua kali sehari pada sebelah pagi dan petang, ia juga tidak memilih makanan tapi biasanya kami memberi makan sisa makanan dan sayuran yang diproses.

"Makanan seperti dedak atau jagung memang dikurangkan bagi mengelakkan ternakan gemuk dengan lemak seperti ayam daging," katanya.

Jelas Mohd Yusof, terdapat 20 reban pelbagai saiz di ladang ternakan keluarganya dan ada yang mampu memuatkan sehingga 100 ekor pada satu-satu masa.

Kata Mohd Yusof, untuk memajukan lagi perniagaan berkenaan, dia turut merancang memohon bantuan geran daripada kerajaan.

Bantuan berkenaan akan digunakan bagi memperbesarkan lagi ladang ternakan.

"Saya juga merancang membuka pusat sehenti bagi memuatkan pusat sembelihan dan tempat jualan.

"Bidang ternakan ayam kampung memiliki potensi besar kerana pasaran sentiasa ada manakala harganya juga kekal.

"Sepanjang PKP baru-baru ini misalnya, permintaan terhadap ayam kampung tidak putus manakala harganya juga tidak jatuh," katanya yang banyak menggunakan kaedah pemasaran dalam talian untuk menjual hasil ternakannya.

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 6:30am
d