agro

Pulangan berbaloi 'trading' lembu

Oleh Hafiz Ithnin

"BERKECIMPUNG di dalam industri penternakan adalah kerjaya yang baik kerana sehingga hari ini permintaan terhadap daging lembu sentiasa meningkat dan tidak mencukupi," jelas Mohd Faizal Said.

Selama tiga tahun mengikuti Pengajian Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan, lelaki berusia 38 tahun ini seakan-akan tidak 'terkilan' meninggalkan dunia pekerjaan selari yang dipelajarinya secara formal.

Malah, anak jati Pahang ini juga melihat perniagaan di dalam bidang penternakan dan 'trading' haiwan mendapat restu bapanya yang juga suatu ketika dahulu mempunyai ternakan sama. Hanya jumlahnya tidaklah sebanyak dimiliki Mohd Faizal.

Jelasnya, dia memulakan perniagaan berkenaan sejak 2018 dan sebelum itu mencari modal dengan menjual ikan arowana secara dalam talian dan beberapa pekerjaan lain.

Pada permulaan dengan membeli tiga ekor lembu, kini dia memiliki lebih 300 lembu yang siap untuk dipasarkan kepada pembeli di seluruh Semenanjung Malaysia.

Mengamalkan konsep perniagaan 'trading' lembu, Mohd Faizal melihat, ia adalah cara perniagaan yang lebih cepat memberi pulangan berbanding perlu membela seekor lembu sejak kecil.

"Pada 2018 saya membeli tiga ekor lembu, seekor baka Charolies dan dua lagi Limousin dengan modal RM19,000. Kandangnya pula saya sewa kerana pemiliknya tidak lagi mengusahakan ternakan lembu.

"Beberapa bulan selepas membeli tiga lembu baka itu, saya mula menceburi perniagaan 'trading' lembu iaitu membeli lembu dewasa di sekitar Pahang dan menjualnya semula," katanya.

Namun, meskipun kedengaran konsep perniagaan 'trading' seolah-olah mudah, ia mempunyai cabaran tersendiri kerana menurut Mohd Faizal, lembu yang dibelinya turut memerlukan pengeluaran modal awal dan kos untuk makanan serta penjagaan.

Katanya, seekor lembu mempunyai kos makanan antara RM4 hingga RM5 sehari iaitu makanan yang dicampurkan antaranya dedak, kulit soya dan daun sawit.

"Apabila mempunyai jumlah lembu yang banyak, ia memerlukan penjagaan baik bagi memastikan tidak berlaku masalah seperti kematian yang tinggi sementara mendapatkan pembelinya.

"Jadi saya perlu memastikan keadaan ladang yang selesa dan disebabkan itu saya turut menyewa sebidang tanah baharu seluas kira-kira dua hektar dan mempunyai tiga pekerja untuk melakukan kerja di ladang ini," katanya.

Mohd Faizal berkata, margin keuntungan bagi seekor lembu antara RM200 hingga RM300 kerana ia bergantung kepada saiz haiwan berkenaan.

"Jadi dalam tempoh selepas saya membeli lembu daripada penjual sebelumnya, saya akan memastikan sentiasa dalam keadaan baik seperti cukup makan, tidak berpenyakit atau mati kerana mungkin bergaduh.

"Selain itu, kadangkala lembu yang dibeli daripada pembeli sebelum ini mungkin agak kurus dan memerlukan makanan yang lebih bagi memastikan ia berisi dan pastinya lembu lebih gemuk mempunyai permintaan tinggi," katanya.

Jelasnya, setakat ini syarikat miliknya, Amirul Escobar Enterprise berkembang dengan baik kerana sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu pasti ada pembeli baharu lembu yang dibelinya sebelum ini dengan harga jualan antara RM1,600 hingga RM2,900 bergantung kepada baka, jantina dan saiz.

Malah, pada musim Aidiladha permintaan lembu 'trading' miliknya terus meningkat dan secara purata dia boleh menjual antara 300 hingga 400 ekor pada musim itu. Harganya juga boleh mencecah sehingga RM5,000 seekor bergantung kepada jantina, saiz dan baka.

"Jadi beberapa bulan sebelum Aidiladha, saya akan mencari stok lembu baharu untuk dipasarkan kerana jumlah permintaan tinggi dan pastinya perkara itu bukan sesuatu yang mudah.

"Ia kerana saya amat mementingkan lembu yang dijual kepada pembeli dalam keadaan baik dan memberi kepuasan kepada mereka. Paling penting kita tidak mahu menjual lembu yang sakit kepada orang ramai," katanya.

Mohd Faizal berkata, selain menjadi usahawan trading, dia juga mempunyai lebih 30 ekor lembu yang dibela sejak kecil untuk dijadikan baka.

"Lembu ini mengambil masa yang lama untuk membiak dan jumlah kelahiran juga tidak tinggi. Ketika ini saya memiliki lembu jenis KK Cross, Brahman, Limousine, Charolies dan Nalero," katanya mengakhiri perbualan.

Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 6:20am
d