agro

Pulih tanah terbiar

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Kuala Muda: Usaha Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memulihkan tanah dan sawah terbiar di negeri ini semakin berhasil apabila berjaya membantu meningkatkan pendapatan petani yang menyertai projek terbabit .

Antara lokasi projek pemulihan itu adalah di Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai membabitkan 14 peserta yang diberi kepercayaan mengusahakan 27.5 hektar sawah terbiar sejak 2018.

Pengurus Besar KEDA, Kamarudin Abd Akib berkata, projek pemulihan di kampung itu sebahagian daripada 457 hektar tanah terbiar yang sudah diusahakan 1,084 pesawah luar bandar di beberapa daerah di Kedah.

Katanya, hasil analisis menunjukkan projek membabitkan 1,084 pesawah di daerah Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kuala Muda dan Padang Terap itu memberi peningkatan hasil jualan padi dan beras sebanyak RM4.3 juta.

"Menerusi projek di Sungai Pial, KEDA memperuntukkan RM60,000 sebagai bantuan membaik pulih jalan pertanian, membaik pulih perparitan, input tanaman padi termasuk menyediakan 25 tan kapur bagi membantu proses pemulihan tanah.

"Usaha KEDA berjaya meningkatkan pendapatan peserta selepas lima musim mengusahakan tanah terbiar, ia juga mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda selain menambah pengeluaran padi negeri Jelapang Padi ini," katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Kampung Sungai Pial, baru-baru ini.

Kamarudin berkata, pihaknya mendapati rata-rata petani memperoleh pendapatan setimpal hasil kerja mereka, malah ada yang kini mampu membeli jentera sendiri hasil daripada jualan padi.

Sementara itu, bagi bekas juruteknik kilang, Rostamizi Ahmad, 37, berkata dia bersyukur dipilih menjadi peserta projek itu apabila pendapatannya meningkat sehingga RM30,000 semusim berbanding hanya RM15,000 hingga RM20,000 sebelum ini.

Katanya, dia yang mengusahakan 6.6 hektar sawah turut mampu membeli jentera sendiri bagi membantu membajak sawah diusahakan.

"Selama ini sawah di sini tidak dapat diusahakan kerana air laut sering masuk ke dalam sawah kerana sistem perparitan tidak sempurna.

"Selepas KEDA membaik pulih perparitan di sini, pokok padi tumbuh dan keluarkan hasil lebih baik, sekali gus meningkatkan pendapatan saya setiap musim hasil pengurusan pertanian lebih sistemetik," kata bapa kepada empat anak ini.

Che Ani Ahmad, 62, pula berkata KEDA antara agensi kerajaan yang sangat membantu penduduk kampung berkenaan bagi mengusahakan tanah terbiar sejak sekian lama.

Katanya, dia kini mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM3,600 semusim hasil dua hektar sawah diusahakan.

"Dahulu kawasan ini tidak boleh diusahakan kerana tahap asid tanah terlalu tinggi akibat air laut masuk, bagaimanapun hasil kapur disediakan KEDA berjaya membantu memulihkan tanah di sini.

"Ia menambah pendapatan saya selepas lebih 40 tahun menjadi pesawah, saya berharap lebih banyak projek seperti ini akan dilakukan berikutan ia turut memberi peluang pekerjaan kepada anak muda," katanya.

Seorang lagi peserta, Shukri Abidin, 52, berkata di bawah projek itu dia dipilih mengusahakan hampir dua hektar sawah dengan cara menyewanya daripada pemilik tanah.

"Dahulu hasil padi bagi setiap empat relung atau 1.16 hektar sawah di sini hanyalah empat tan atau RM2,000, tetapi kini saya sudah boleh dapat sehingga enam tan atau kira-kira RM4,000.

"Kehidupan keluarga juga banyak berubah dan masa hadapan anak lebih terjamin selepas saya menyertai projek ini pada 2018," katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 6:30am
d