agro

150 keluarga B40 perintis projek hidroponik

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Seramai 150 keluarga kalangan golongan berpendapatan rendah B40 dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan di sini, dipilih menjadi perintis projek hidroponik.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek berkata, pihaknya memperuntukkan RM75,000 bagi menjayakan projek sulung itu.

Katanya, kesemua peserta yang dipilih sudah mengikuti kursus di Pusat Pertanian Sendayan di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan.

"Kehidupan masyarakat dari golongan B40 yang tinggal di bandar dan pinggir bandar amat terkesan dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

"Walaupun pelbagai pihak sama ada di peringkat persekutuan dan negeri menyalurkan bantuan, namun ia lebih berbentuk bantuan tunai dan makanan.

"Menerusi bantuan set hidroponik ini diharap dapat memberi peluang kepada golongan sasar berkenaan menjalankan aktiviti pertanian secara berterusan bagi mengurangkan belanja dapur khususnya sayur-sayuran," katanya selepas Majlis Pra-Pelancaran Projek Pertanian Pinggir Bandar@Hidroponik Nutrient Film Technique (NFT) Peringkat DUN Ampangan, di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir.

Mohamad Rafie berkata, peralatan hidroponik NFT itu sesuai untuk penduduk di taman perumahan yang tidak mempunyai ruang untuk bercucuk tanam.

"Projek ini yang diselia oleh Pengerusi Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) atau Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan diperluaskan di seluruh negeri secara berperingkat, untuk membolehkan lebih ramai golongan sasar mendapat manfaatnya," katanya.

Sementara itu, Bakri berkata, projek ini seiring dengan Program Kebun Komuniti yang disaran kerajaan Persekutuan dalam usaha membantu isi rumah yang berpendapatan rendah.

"Seperti yang disebut dalam Belanjawan 2021, program ini menyediakan peralatan seperti kit fertigasi dan media tanaman bernilai sehingga RM500 kepada individu atau golongan sasaran.

"Kerajaan negeri mahu menyahut saranan itu menerusi projek hidroponik NFT ini," katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 10:53am
d