agro

Ladang mulberi Saqdam

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

POKOK mulberi atau nama saintifiknya Morus Alba adalah spesies yang banyak tumbuh di negara beriklim panas dan subtropika di Asia, Afrika serta Amerika Latin.

Rasanya yang masam manis digemari pelbagai lapisan masyarakat dan ia boleh dimakan segar atau dicampur dalam aneka jenis masakan.

Ia biasanya diimport dari luar negara, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin ramai pengusaha tempatan mengusahakan tanaman pokok mulberi untuk pasaran di Malaysia.

Antaranya, anak jati Selangor, Saqdam Zaim Arffain, 29, yang mengusahakan tanaman itu di ladangnya di Bangi Lama.

Kata Saqdam, terdapat lebih 250 varieti pokok mulberi di seluruh dunia dan jenis 'short mulberi' menjadi pilihannya untuk ditanam di ladang seluas hampir 0.4 hektar berkenaan.

Bermula dengan hanya suka-suka menanam tiga pokok kira-kira tiga tahun lalu kini ladangnya memiliki 300 pokok dan 1,000 pokok semaian.

"Walaupun mudah dijaga dan senang berbuah, pokok mulberi tidaklah begitu popular di negara ini.

"Sedangkan ia boleh dipasarkan secara segar dan diproses menjadi jem atau jus selain memiliki banyak khasiat untuk kesihatan," katanya kepada Agro.

Menurut Saqdam, selain kandungan buahnya yang kaya dengan antioksidan, daun pokok mulberi boleh dimakan segar sebagai ulam manakala pucuk mudanya boleh diproses menjadi teh.

Saqdam berkata, cara menanam pokok mulberi juga mudah iaitu daripada keratan dahannya dan keratan yang digunakan tidak boleh terlalu tua atau terlalu muda.

"Ia perlu disemai dalam polibeg dan diletakkan di tempat yang mendapat cahaya matahari separa (tidak terus), sementara penggalak akar juga boleh digunakan untuk mempercepatkan lagi proses pertumbuhannya.

"Kira-kira selepas seminggu semaian, tunas baharu akan keluar dan dalam tempoh tiga hingga empat minggu kemudian, tunas tadi akan mengeluarkan pucuk daun serta bunga mulberi (bunga mulberi muda)," katanya.

Saqdam berkata, buah mulberi keluar seiring dengan pertumbuhan tunas baharu dan ia mempunyai bulu putih yang halus.

Kata Saqdam, selepas satu bulan semaian, buah mulberi akan masak dan bertukar warna kepada merah-kemerahan manakala jumlah buah bergantung kepada sebanyak mana dahan yang ada.

"Buah mulberi yang berwarna merah biasanya masih berasa masam dan sesuai diproses menjadi jem atau dicampurkan dalam masakan.

"Buah warna ungu gelap atau hitam pula adalah buah matang dan lebih manis, ia sesuai dimakan segar," katanya.

Dalam pada itu, Saqdam berkata, dia menanam pokok mulberi sebagai tanaman pagar di ladangnya memandangkan ia cepat tumbuh berbanding pokok lain.

Bagaimanapun, kata Saqdam, ia perlu sentiasa dirapikan kerana jika tidak, dahan pokok mulberi akan terus meninggi, mempunyai daun yang lebat dan kurang mengeluarkan buah.

Pada masa sama kaedah pemangkasan (prunning) menghasilkan tunas baharu dalam tempoh seminggu, namun jumlahnya agak kurang berbanding kaedah lenturan.

"Sisa pangkasan dahan pula boleh disemai untuk dijadikan benih pokok baharu.

"Untuk kaedah lenturan (pegging) pula, daun pada dahan akan dibuang manakala hujung dahan akan diikat pada pangkal pokok, ia boleh menggalakkan lebih banyak tunas baharu tumbuh.

"Kaedah ini juga mengalakkan pertumbuhan lebih banyak cabang dahan baharu dan sesuai dilakukan pada pokok muda," katanya.

Sementara itu, pokok mulberi bukan saja sesuai ditanam di tepi pagar malah boleh dijadikan sebagai pokok hiasan seperti pohon bongsai di dalam pasu.

Namun, seperti pokok yang ditanam di atas

tanah, pokok mulberi di dalam pasu juga perlu sentiasa dipangkas dan dijaga bagi memastikan pengeluaran buahnya lebih lebat.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 6:21am
d