agro

'Modal besar tapi berbaloi'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

TIADA siapa menduga, penternakan ikan jade perch diusahakan bekas juruterbang Malindo Air, Borman Khairuddin, 49 sejak 2016 memberi kelebihan kepadanya meneruskan kehidupan seperti biasa biarpun ketika berdepan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP).

Malah Borman turut mengakui penternakan ikan itu yang pada mulanya dianggap hobi dapat memberikan pendapatan lumayan bagi menyara keluarga.

Ketika ditemui di rumahnya di Seremban Dua, Negeri Sembilan, Borman berkata sebaik PKP mula dilaksanakan kerajaan, dia hanya membuat empat kali penerbangan iaitu dua ke Kuching, Sarawak; satu penerbangan Kota Kinabalu, Sabah dan satu ke Jakarta, Indonesia.

"Berikutan pengurangan operasi penerbangan, syarikat memberi dua pilihan kepada saya pada Julai tahun lalu sama ada mahu mengambil cuti jangka panjang tanpa gaji atau Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).

"Biarpun saya antara juruterbang paling kanan selain turut menjadi jurulatih penerbangan dan pemeriksa lesen juruterbang bagi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), saya tidak terkecuali diberi dua pilihan itu.

"Saya akhirnya memilih VSS dan berhenti daripada syarikat berkenaan pada Julai 2020 selepas berkhidmat selama empat tahun dengan Malindo Air," katanya yang sebelum itu pernah menjadi juruterbang Malaysia Airline (MAS) selama 24 tahun.

Borman yang mempunyai 10,500 jam rekod penerbangan berkata dia bernasib baik kerana tidak seperti rakan lain yang perlu mengatur semula kehidupan termasuk mencari kerja lain selepas diberhentikan.

Sepanjang PKP dan kebanyakan masa dihabiskan di rumah, dia belajar menjalankan pembenihan ikan berasal dari Australia itu yang mempunyai Omega 3 paling tinggi.

"Ikan ini jenis manja dan tidak akan bertelur sendiri biarpun dipelihara di dalam kolam, kita perlu buat pembenihan dan tidak sangka usaha itu berjaya.

"Ketika ini terdapat lebih 3,000 anak ikan yang dilakukan pembenihan menunggu masa untuk dilepaskan ke dalam kolam di Ulu Bendul, Kuala Pilah," katanya.

Borman berkata PKP Mac lalu turut memberi hikmah apabila ikan yang diternak di tiga kolam di Ulu Bendul tidak diganggu pembesaran dan sebaik PKP Bersyarat dilaksanakan pada 4 Mei 2020, ikan berkenaan boleh dijual kepada pembeli.

Katanya dia bersyukur kerana usaha yang dibuat sebelum ini berbaloi biarpun ketika awal pembabitan perlu mengeluarkan modal sebanyak RM350, 000.

"Ada rakan menganggap saya buat kerja gila kerana sanggup keluar modal besar untuk ternak ikan lain daripada yang lain sebagai hobi apatah lagi tidak ramai yang mengetahui ikan jenis berkenaan.

"Ikan jade perch saya jual RM35 sekilo manakala harga di restoran boleh mencecah sehingga RM150," katanya.

Malah dia mengakui ada beberapa rakan bekas juruterbang turut meminta bantuannya bagi menternak ikan berkenaan yang dilihat memberikan pulangan lumayan sekiranya dilakukan dengan serius.

Berdasarkan ujian makmal yang dijalankan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), jade perch didapati mempunyai Omega 3 lebih tinggi daripada ikan salmon.

Disiarkan pada: February 7, 2021 @ 6:40am
d