agro

Wira negara kini 'pahlawan cangkul'

Oleh Khidir Zakaria

BERIADAH dan pada masa sama menambah pendapatan antara tujuan kebun komuniti ini ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu yang kini menjadi 'port' orang pencen yang kebanyakannya bekas tentera dan polis.

Seramai sembilan peserta Kebun Komuniti Bandar Springhill mengusahakan sebidang tanah seluas 0.9 hektar di fasa 1, Bandar Springhill, Port Dickson, Negeri Sembilan dengan tanaman pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan sejak 2014.

Menurut pesara tentera, Abdul Aziz Mohd Yunus, 57, dia seronok kerana ada aktiviti selepas bersara sejak 15 tahun lalu.

"Pernah juga cuba bekerja selepas bersara daripada tentera, tetapi berkebun lebih seronok kerana ia lebih santai dan pada masa yang sama dapat mengeluarkan peluh.

"Aktiviti ini kami lakukan setiap pagi dan petang saja bagi memantau hasil tanaman seperti membaja dan menyiram sayur daripada pelbagai jenis seperti cili api, bayam merah, terung, kangkung, kacang botol, sawi selain jagung serta pokok buah-buahan," katanya.

Bagi rakannya, Mazlan Abd Wahid, 55, dia mula agak lewat menyertai kebun komuniti ini kerana baru bersara dua tahun lalu sebaik menamatkan perkhidmatan sebagai polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

"Di sini kami benar-benar seronok kerana aktiviti ini dapat menghilangkan rasa bosan dan ia juga satu tempat untuk kami beriadah sambil mengeluarkan peluh selain lebih seronok apabila hasil dituai nanti.

"Buat masa sekarang, jagung dalam proses mengeluarkan hasil, mungkin dalam seminggu dua lagi dan sayur-sayuran pula sudah boleh dikutip serta dijual kepada peraih atau kami jual sendiri ke kedai berhampiran," katanya.

Sementara itu, Ketua Projek Kebun Komuniti Bandar Springhill, Sumari Anid Ridjoh, 58, berkata, projek ini sudah bermula sejak 2014 dan masih beroperasi sehingga kini.

"Kalau dulu projek ini dipantau Jabatan Pertanian Port Dickson dan mereka sering membantu memberikan khidmat nasihat dan benih, baja serta bantuan peralatan pertanian tapi sekarang sukar untuk kami dapat bantuan kerana mereka berpendapat projek kebun komuniti tidak termasuk dalam projek pertanian yang layak menerima bantuan.

"Atas sebab itu, kami membuat sendiri dan mengeluarkan modal secara kutipan sesama peserta tanpa bantuan mana-mana pihak. Kami akan teruskan projek ini walaupun kekurangan modal kerana sedikit sebanyak ia membantu terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang," kata bekas tentera ini.

Katanya, modal untuk semua projek ini dikutip hampir RM3,000 untuk persiapan dari mula sehingga mengeluarkan hasil yang akan dikumpul untuk projek seterusnya.

"Antara perkara yang perlukan modal yang besar seperti meratakan tanah, menggembur tanah, meracun, baja organik, benih jagung dan sayur-sayuran serta pembajakan manakala cili pula ditanam secara fertigasi.

"Air pula kami pam daripada sungai berhampiran ke kawasan kebun yang bersebelahan dan ini membuatkan projek pertanian ini menjadi mudah untuk diusahakan kerana dekat dengan punca air," katanya.

Sumari juga berharap permohonan mereka mendapatkan bantuan daripada Jabatan Pertanian dipertimbangkan.

"Kami juga menyumbang dalam menghasilkan produk pertanian walaupun dalam skala yang kecil kerana hanya bergantung kepada tulang empat kerat peserta kebun komuniti bagi menjimatkan kos.

"Hampir semua yang terbabit dalam projek ini ialah pesara tentera dan polis, kalau dulu kami memikul senjata menjaga keamanan negara, sekarang kami 'pahlawan cangkul' berbakti kepada tanah," katanya berseloroh.

Disiarkan pada: March 21, 2021 @ 6:21am
d