agro

Perusahaan kayu gaharu

Oleh Muhamaad Razis Ismail

USIANYA sudah mencecah 70 tahun, namun Sarippuddin Md Yunus masih aktif dengan perusahaaan kayu gaharu yang dijalankan sejak 18 tahun lalu.

Minat mendalam terhadap tanaman itu, membuatkan bekas pengurus kelab golf yang lebih dikenali sebagai Pak Din tidak pernah jemu untuk terus berkecimpung dalam bidang pertanian.

Jadi tidak hairanlah, dia sanggup berulang-alik dari kediamannya di Cheras, Kuala Lumpur untuk memantau 10,000 pokok karas jenis Aquilaria malaccensis, Aquilaria subintegra dan Aquilaria crassna yang diusahakan di atas tanah seluas 3.2 hektar di Melaka dan Negeri Sembilan.

Sebahagian pokok yang ditanam dijalankan secara usaha sama dengan Koperasi Usahawan Muslih Malaysia Berhad dan Koperasi Nur Salam menerusi Projek Industri Gaharu.

Bukan itu saja, pemilik Agarwood Worldwide Network sering membantu pengusaha gaharu di dalam dan luar negara untuk menjalankan teknik inokulasi untuk mempercepatkan tuaian gaharu.

Di sampingnya adalah penasihat Agarwood Worldwide Network, Dr Mohd Noor Mahat yang mempunyai pengalaman luas dengan penanaman pokok karas dan gaharu.

Gandingan mantap dua individu ini menarik perhatian daripada syarikat dari Arab Saudi baru-baru ini untuk menjalin kerjasama dalam perusahaan gaharu.

Sarippuddin berkata, pokok karas hanya akan menghasilkan gaharu apabila bertindak balas selepas diserang sama ada secara semula jadi, kimia, gangguan manusia atau haiwan.

"Antara cara yang digunakan adalah menerusi teknik inokulasi dengan menebuk lubang pada pokok berusia lima tahun sebelum memasukkan cecair inokulan daripada bahan organik atau bahan kimia yang tidak memberi kesan kepada tubuh manusia ke dalamnya (pokok).

"Pokok ini kemudian akan bertindak balas dan menghasilkan resin sebelum menukarkan kayu pokok menjadi hitam berminyak yang dinamakan gaharu.

"Biasanya selepas setahun setengah atau dua tahun, pengusaha boleh menuai hasilnya bergantung kepada jenis pokok," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, untuk menjalankan teknik inokulasi ini tidak mudah dan seseorang itu memerlukan pengetahuan yang luas.

"Sebelum teknik ini dijalankan, kita perlu periksa dari segala aspek termasuk saiz pokok, kandungan mineral pokok, keasidan tanah dan sebagainya untuk memastikan inokulasi berjalan lancar.

"Jumlah cecair yang disuntik ke dalam pokok perlu diambil kira, jika berlebihan pokok akan terlebih stres dan tidak dapat menghasilkan resin yang maksimum," katanya.

Menurutnya, kebiasaannya untuk menggunakan teknik ini, ramai yang mengenakan caj sekitar RM350 sehingga RM500 bagi setiap pokok

"Bagaimanapun, saya dan Mohd Noor menawarkan harga berpatutan dan sekiranya mereka tidak berkemampuan, kita boleh buat perjanjian berkongsi hasil.

"Ini antara usaha yang kami lakukan untuk membantu pengusaha gaharu sekali gus mengembangkan industri gaharu di negara ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Noor berkata, cabaran besar gaharu adalah untuk melihat bagaimana produk yang dihasilkan dapat menjana ekonomi.

"Dahulu kita berdepan masalah bagaimana pokok karas yang ditanam dapat hasilkan gaharu dan dengan teknik inoklasi, kita sudah temui jalan penyelesaiaannya.

"Kini antara cabaran lain adalah bagaimana produk gaharu yang dihasilkan dapat dijual dalam pasaran," katanya.

Bagaimanapun, dia melihat industri gaharu di negara ini dilihat berkembang dengan positif sejak 10 tahun kebelakangan ini.

"Dahulu, gaharu hanya dibakar untuk hasilkan minyak, kini pelbagai produk dari akar hingga ke pucuk pokok berjaya dihasilkan pengusaha tempatan antaranya sabun, syampu, losen dan sebagainya.

"Malah dengan bantuan kerajaan dalam bentuk geran, berjaya menarik minat pengusaha muda," katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2021 @ 6:50am
d