agro

Manfaat teknologi fertigasi

Oleh Hafiz Ithnin

Daripada jurutera kepada usahawan tani. Itu yang menjadi pilihan Mohd Najib Latif, 35, kira-kira enam tahun lalu kerana dia berasakan bidang pertanian mampu memberikan kehidupan yang lebih baik berbanding bekerja makan gaji.

"Bagaimanapun, perkara itu tidak mudah dicapai dan dilhat dari mata kasar kerana kejayaan tidak datang dalam sekelip mata," katanya..

Mohd Najib berkata, sepanjang bergelar usahawan tani, dia bukan tidak pernah berpaling kepada kerjaya sebelumnya kerana hampir putus asa dengan pendapatan yang tidak mampu mencukupkan komitmen bulanan.

Katanya, perkara itu berlaku dua tahun selepas dia mengusahakan kebun seluas kira-kira 0.4 hektar yang disewanya.

"Saya sebenarnya tidak mempunyai ilmu langsung dalam bidang ini. Segala-galanya bermula daripada kosong selain hanya belajar dengan kawan berpengalaman.

"Kita lihat orang yang berjaya hari ini sebenarnya bukan mudah kerana mereka juga melalui proses dari bawah yang sukar. Jadi, itu pengajaran untuk saya," katanya.

Katanya, perkara paling penting ialah ilmu pengetahuan untuk mengusahakan tanaman yang diinginkan termasuk proses memasar dan menguruskan perniagaan.

"Saya awalnya hanya mengusahakan tanaman terung dan tidak tahu cara yang betul. Maksudnya memastikan bekalan tanaman tidak putus selepas hasilnya diperoleh.

"Jadi, saya belajar daripada kawan yang berpengalaman dan mengikuti kursus disediakan pelbagai pihak antaranya Pertubuhan Peladang, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) serta Jabatan Pertanian yang banyak membantu usahawan baharu," katanya.

Katanya, menerusi kursus yang disediakan itu, dia mula belajar mengenai teknologi pertanian bagi mengusahakan tanaman sayur-sayuran yang lebih mampan.

"Daripada mengusahakan tanaman secara konvensional pada 2015, saya beralih kepada fertigasi untuk tanaman terung, cili, timun dan labu pada 2017.

"Menerusi teknologi fertigasi, pemberian baja akan dapat disukat dengan lebih tepat sesuai dengan keperluan tanaman harian dan juga air," katanya.

Jelasnya, ia lebih baik berbanding kaedah konvensional yang baja ditabur dengan banyak, apabila hujan terdapat pembaziran dan jika panas air tidak mencukupi.

"Teknologi fertigasi ini juga membantu memudahkan operasi siraman yang bersifat automatik dan tidak membazirkan air.

"Hasil penggunaan teknologi ini membantu saya mendapatkan produk tanaman yang lebih bermutu daripada segi gred dan saiz. Malah tempoh matang juga lebih cepat dalam tiga hari berbanding secara konvensional," katanya.

Kini, Mohd Najib mengusahakan tanamannya di tanah seluas sekitar empat hektar yang disewa daripada Jabatan Pertanian sejak 2019.

"Saya juga mengamalkan tanaman secara bermusim mengikut giliran sayur-sayuran. Setakat ini, untuk musim cili saya mampu menghasilkan purata 1,500 hingga 2,000 kilogram (kg), terung 4,000kg dan timun empat tan.

"Tempoh matang setiap tanaman juga berbeza. Contohnya pokok cili hanya memerlukan dua bulan setengah hingga tiga bulan dan timun sekitar 40 hari," katanya.

Selain tanaman fertigasi, Mohd Najib juga mengusahakan tanaman kontan iaitu ubi kayu dan keledek yang menjadi pendapatan sampingan untuk jangka masa panjang.

Baginya, sebagai usahawan tani, kesabaran paling utama bagi memastikan usaha yang dilakukan tidak terhenti di tengah jalan.

"Seperti dikatakan pada awal tadi, saya sudah hampir putus asa dengan kembali ke kerjaya asal, tetapi apabila difikirkan semula, ini adalah cita-cita saya dan perlu diteruskan walaupun terdapat cabaran.

"Tempoh masa untuk mendapat hasil matang tanaman adalah cabaran utama, tetapi apabila kita belajar supaya ia berterusan, maka perniagaan ini dapat berjalan dengan baik. Ilmu itu penting," katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2021 @ 6:20am
d