agro

Tembikai menjadi tahun ini!

Oleh Hidayatidayu Razali

Antara Januari hingga Mac setiap tahun adalah saat yang ditunggu-tunggu penanam tembikai kerana pada masa itu mereka dapat mengutip hasil selepas berpenat lelah hampir 70 hari.

Pengusaha ladang tembikai tersenyum lebar kerana tanaman tembikai mereka mengeluarkan hasil yang banyak hingga mampu meraih pendapatan ribuan ringgit.

Seorang daripada mereka, Ariffin Ismail, 60, yang mengusahakan ladang tembikai seluas 10 hektar di sekitar Beris Lalang dan Kampung Aman di Bachok, Kelantan.

Kata Ariffin, untuk musim kali ini, ladang tembikai miliknya mengeluarkan hasil melebihi 50 tan apabila ia mula dipetik sejak Januari lalu.

Katanya, tembikai itu bukan sahaja untuk pasaran di Kelantan, malah turut dijual kepada pemborong dari Johor dan negeri di utara seperti Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

"Saya bersyukur kerana harga tembikai pada musim ini juga agak mahal kerana tidak berlaku lambakan buah-buahan berbanding tahun sebelumnya.

"Sebelum ini, harga tembikai jatuh sehingga 80 sen bagi sekilogram untuk buah gred A, namun tahun ini harganya agak tinggi iaitu dijual sekitar RM1.50 sekilogram bagi gred A, RM1 bagi gred B kepada pemborong manakala untuk jualan runcit pula, harganya mencecah RM2 sekilogram.

"Tembikai juga agak 'menjadi' dan banyak mengeluarkan buah gred A pada musim ini" katanya ketika ditemui di ladangnya di Beris Lalang, Bachok, baru-baru ini.

Bapa kepada empat anak itu berkata, ramai pemborong dari Johor dan negeri dari utara datang sendiri membeli tembikai di ladangnya.

Katanya, kebanyakan pemborong sudah biasa membeli hasil tanaman yang diusahakannya sejak 30 tahun lalu.

"Mereka (pemborong) sanggup datang dari jauh kerana tahu kualiti tembikai yang dihasilkan di sekitar Bachok.

"Tembikai yang dihasilkan di daerah ini sememangnya menjadi rebutan ramai kerana kualiti buahnya," katanya.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, dia menanam sendiri tembikai di atas tanah seluas 10 hektar dengan bantuan isteri, Mek Nab Sulaiman, 59, anak sulung dan empat pekerja.

Kata Ariffin, untuk menjaga tanama tembikai sebenarnya tidaklah serumit mana kerana ia hanya memerlukan air yang cukup, baja selain racun bagi memelihara kualiti dan tidak dirosakkan serangga perosak.

Walaupun penjagaannya mudah, Ariffin mengakui sentiasa memantau tanaman tembikai untuk memastikan ia tidak diserang serangga perosak yang boleh menjejaskan kualiti dan saiz buah.

"Biji benih tembikai ini dipilih daripada jenis yang berkualiti dan mula ditanam antara November hingga Disember setiap tahun kerana pada musim itu keadaan hujan lebat jadi pekebun tidak perlu menyiram tanaman.

"Disebabkan air yang cukup, tanaman tembikai akan tumbuh dengan segar.

"Alhamdulillah, dalam tempoh 70 hari, kami dapat memetik hasil dan boleh dijual dengan harga yang ditetapkan mengikut gred," katanya.

Menurut Ariffin lagi, tembikai adalah tanaman jangka pendek dan hasilnya dikutip dalam beberapa pusingan.

Ariffin berkata, hasil tanaman ladangnya dapat dikutip dalam tempoh lebih sebulan bagi menampung keperluan pasaran di beberapa negeri.

Katanya, untuk pusingan pertama, dia akan mengutip buah gred A yang berkualiti sebelum memungut tembikai gred B yang dijual dengan harga yang lebih murah.

"Menerusi penjagaan rapi, tembikai yang ditanam setakat ini mengeluarkan buah yang berkualiti.

"Tanaman tembikai sesuai ditanam di atas tanah berpasir kerana dapat menghasilkan buah yang berkualiti dan manis.

"Bagaimanapun, bagi menjaga kualiti hasil tanaman dan kesuburan tanah, saya hanya menanam tembikai untuk satu musim sahaja setiap tahun dan pada waktu lain, ia (tanah) dibiarkan kosong," katanya.

Mengakhiri perbualan, Ariffin menyarankan golongan muda yang mahu mengusahakan tanaman tembikai supaya tidak jemu mendapatkan ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman.

Akuinya, tidak rugi berbudi kepada tanah kerana ia memberi hasil yang lumayan dan dapat menampung kehidupan seharian.

"Dengan tanaman tembikai ini contohnya, saya dan isteri dapat membesarkan empat anak yang kini masing-masing berusia antara 23 hingga 41 tahun.

"Berkat usaha, minat, komitmen dan ilmu, insya-Allah apa yang diusahakan akan membuahkan hasil," katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2022 @ 6:55am
d