agro

Pertanian integrasi pilihan bekas KPN

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kaedah pertanian campuran atau integrasi menjadi pilihan kebanyakan pengusaha bagi mempelbagaikan hasil pendapatan selain memastikan produk kekal relevan dengan permintaan pasaran.

Malah kaedah pertanian itu yang mengusahakan tanaman serentak dengan aktiviti ternakan haiwan juga dilihat membantu mengoptimumkan penggunaan tanah selain menjana pendapatan yang lebih baik.

Itu yang dilakukan usahawan tani yang juga bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, apabila mengusahakan tanaman sayur jenis buah dan penternakan ikan di ladang seluas 24.7 hektar di Kampung Pilin, Rembau, Negeri Sembilan.

Menurut Abdul Hamid, beliau mengusahakan ladang itu bersama tiga rakannya dengan memilih kaedah pertanian integrasi atau campuran menerusi gabungan aktiviti penanaman sayur-sayuran dan penternakan ikan bagi menjana pendapatan lebih baik.

"Keseluruhan kawasan pertanian ini menempatkan tiga plot kebun sayur dan 12 kolam ikan pada tanah seluas kira-kira 25 hektar.

"Bagi plot kebun, kami lebih fokus kepada tanaman sayur buah kerana permintaan terhadap sayur jenis itu sangat menggalakkan selain memiliki harga yang lebih stabil.

"Antara sayur yang ditanam ialah peria, terung, bendi, timun dan kacang panjang. Sayur-sayuran itu ditanam silih berganti mengikut permintaan pasaran selain kesesuaian tanah serta keperluan ketika itu.

"Secara purata, hasil sebulan boleh mencecah empat hingga lima tan dan pengeluaran optimum boleh capai sebanyak 10 tan. Untuk setiap kali tuaian hasil bagi jenis sayur buah, kami sudah ada pembeli tetap di Kuala Lumpur, Johor dan Melaka," katanya.

Beliau yang sudah terbabit dalam mengusahakan tanaman dan ternakan sejak 2014 itu turut berpengalaman mengusahakan tanaman lain.

"Sebelum ini pernah juga tanam sayur lain, tetapi permintaan kurang memberangsangkan selain terdapat lambakan ketika tiba musim tuaian.

"Berbanding tanaman sayur jenis buah, permintaan sepanjang tahun sangat baik selain keperluan meningkat menjelang musim kenduri dan juga keramaian," katanya.

Menjelaskan margin keuntungan diperoleh untuk semusim bagi hasil tanaman sahaja, kata Abdul Hamid, setiap seringgit kos dibelanjakan, pihaknya berhasil menjana keuntungan 30 hingga 40 peratus selepas hasil terjual.

"Cabaran bagi mengusahakan tanaman sayur-sayuran jenis berbuah seperti peria sebagai contoh, ia menelan belanja tinggi terutama apabila diusahakan secara komersial.

"Tanaman sayur jenis buah membabitkan jumlah tenaga kerja ramai selain perlu pengurusan ladang yang intensif bagi menjamin pulangan hasil memberangsangkan.

"Belum masuk cabaran lain terutama keadaan pasaran tidak menentu dan cuaca yang mana banyak mempengaruhi hasil pendapatan petani.

"Senario dua tahun kebelakangan ini adalah contoh situasi terburuk pernah dihadapi pekebun sayur atau pengusaha tanaman secara komersial apabila pendapatan kami terjejas teruk. Keadaan itu didorong faktor pasar borong ditutup dan peniaga makanan tidak lagi menjual ketika pandemik," katanya.

Tambah Abdul Hamid, keuntungan pengusaha kebun sayur komersial turut bergantung kepada permintaan pasaran dan ketika pandemik, permintaan terhadap produk pertanian sangat berkurangan.

"Pengguna yang juga terdiri daripada kumpulan pembeli, pengusaha kedai dan restoran tidak dapat beroperasi ketika pandemik selain pasar borong yang ditutup dalam tempoh berkenaan. Ini adalah rantaian utama pasaran produk pertanian dan juga 'periuk nasi' petani selama ini.

"Itu belum lagi masuk risiko ketika menanti musim tuai terutama kedatangan musim tengkujuh, tanaman jenis para seperti peria, kacang panjang dan kacang botol berisiko sekali gus mempengaruhi pendapatan pengusaha pertanian komersial," katanya.

Beliau sendiri pernah mengalami situasi yang sama apabila berdepan kerugian mencecah RM100,000 pada 2016. Ia disebabkan tanaman runtuh dipukul ribut sehinggakan hasil ketika itu yang sudah mendekati tempoh sedia dituai rosak.

"Penting untuk petani terutama yang menjalankan tanaman secara komersial peka dengan situasi pasaran dan juga cuaca bagi meminimumkan kerugian perlu ditanggung semusim.

"Banyak perkara saya pelajari sepanjang terbabit dalam sektor pertanian ini. Sokongan saya adalah rakan kongsi berpengalaman dan juga penanam sayur yang lain," katanya.

Kaedah tanaman pula, ladangnya itu masih mengekalkan cara konvensional apabila menggunakan kaedah tanaman secara batas di tanah dengan bantuan pengairan renjis.

Sementara itu, untuk ternakan ikan pula, kata Abdul Hamid berkata, 12 kolam ikan menempatkan spesies ikan air tawar seperti puyu, haruan dan lekoh.

"Bagi ikan pula, kami mendapatkan anak benih yang berkualiti dari pembekal. Anak benih ikan yang dibekalkan memiliki kadar peratusan mati rendah dan cepat membesar iaitu sedia terjual dalam tempoh enam bulan.

"Makanan diberikan juga lebih jimat kerana ada formula tersendiri iaitu campuran makanan ayam proses bersama dedak ikan. Ada ubat khusus dicampurkan pada makanan untuk memastikan ikan membesar dengan baik.

"Bagi kolam, tidak menggunakan sebarang pam, sebaliknya air mengalir dari sumber mata air menerusi kaedah graviti membantu menjimatkan kos operasi," katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2022 @ 6:20am
d