agro

Bekal pelanduk ke seluruh negara

Oleh Muhamaad Razis Ismail

MENTERNAK pelanduk secara liar mampu menjadikan haiwan itu tidak mengalami stres.

Perkara itu dikongsikan Hairulnizan Ghazali, 45, yang berpengalaman menternak haiwan itu secara komersial sejak lima tahun lalu.

Hairulnizan berkata, pelanduk cukup dikenali sebagai haiwan yang mempunyai karakter pemalu dan sukar mendedahkan diri apabila berada di hutan.

Katanya, biarpun dipelihara dalam kurungan, suasana seperti habitat semula jadi yang dipenuhi dengan pokok amat penting supaya pelanduk selesa dan tidak berasa terancam.

"Oleh itu, saya mengambil inisiatif sendiri dengan menanam pokok di dalam kurungan untuk mengadaptasikan keadaan seperti di dalam hutan sebenar.

"Pada masa sama, saya berikan makanan asas pelanduk termasuk daun ludai, daun maya dan daun simpoh air yang dicari sendiri di hutan. Saya turut menanam pokok hutan di sekitar kurungan sebagai stok bekalan makanan.

"Langkah ini sangat penting untuk memastikan pelanduk yang diternak dapat hidup dengan lebih baik selain dapat mengelakkan stres," katanya.

Menurutnya, stres boleh berlaku apabila pelanduk berasa terancam selepas melihat individu yang tidak dikenali dan pemangsa seperti burung hantu serta helang.

"Pelanduk yang stres akan menunjukkan perubahan termasuk dilihat bersendirian, kurang makan dan warna bulu bertukar. Sekiranya dibiarkan berterusan, pelanduk boleh mati.

"Jadi, pelanduk yang menunjukkan gejala ini akan ditangkap dan dikuarantin selama 10 hingga 14 hari untuk diberi lebih perhatian," katanya.

Biarpun menyedari cabaran yang dihadapi, minat mendalam terhadap haiwan liar ini mendorong Hairulnizan menternak pelanduk secara komersial di atas tanah seluas 0.4 hektar di Batu Kurau, Perak.

"Berbekalkan modal dan pengalaman sendiri, saya bermula dengan menternak 10 pelanduk (tiga jantan dan tujuh betina) di dalam kurungan untuk proses pembiakan.

"Saya mengambil masa selama tiga hingga empat tahun untuk membiakkan pelanduk sehingga berjaya memiliki 70 ekor," katanya.

Terdahulu, untuk menangkap pelanduk bagi dijadikan baka induk, dia memohon lesen menangkap haiwan itu daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Kemudian, saya memohon lesen untuk menyimpan. Apabila induk sudah stabil, saya mohon permit pembiakbakaan, lesen menjual hidupan liar dan lesen panel penandaan.

"Sehingga kini saya sudah membekalkan pelanduk hidup ke seluruh Semenanjung Malaysia," katanya.

Berkongsi berkenaan penternakan pelanduk, perkara yang perlu dititikberatkan adalah kebersihan dan pemakanan.

"Kebersihan di dalam kandang dapat mengelakkan pelanduk terkena jangkitan penyakit yang diakibatkan oleh cacing.

"Daripada segi pemakanan pula, ia perlu diberikan mengikut waktu ditetapkan, namun pada kuantiti yang tidak terlalu banyak," katanya.

Jelasnya, pelanduk mempunyai potensi besar untuk berkembang kerana mendapat permintaan yang tinggi di negara ini.

Kini dia sedang menaik taraf kurungan untuk menambah ternakan bagi memenuhi permintaan pasaran.

"Pada masa sama, saya tidak menolak untuk menjalin kerjasama dengan pihak berkaitan untuk bersama-sama mengembangkan ternakan pelanduk secara komersial," katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2022 @ 7:01am
d