agro

Manfaatkan lambakan sabut

Oleh Paya Linda Yahya

Umum mengetahui fertigasi melalui cocopeat menjadi salah satu cara penanaman sayur-sayuran pada masa kini termasuk penanaman berskala besar.

Cocopeat atau dikenali sebagai sabut kelapa hancur terhasil daripada 100 peratus serat kelapa yang diolah melalui teknologi moden.

Menyedari manfaat daripada sabut kepala itu, seorang pengusaha santan bertekad memproses cocopeat sendiri.

Lebih enam tahun menceburkan diri dalam bidang memproses santan segar, tapi sabut kelapa hanya dibuang tanpa memanfaatkannya.

Mohd Amir Ibrahim, 34, membelanjakan kira-kira RM30,000 duit simpanan sendiri untuk membeli dua mesin memproses sabut kelapa terbuang menjadi cocopeat.

Dia kini membina sebuah bengkel bersebelahan rumahnya bagi menempatkan mesin memproses cocopeat itu.

Menurut Mohd Amir, idea menghasilkan cocopeat tercetus selepas melihat lambakan sabut kelapa di kawasan kedai santan yang diusahakannya.

Katanya, setiap hari dia berjaya menghasilkan sebanyak 100 hingga 150 guni cocopeat untuk dijual kepada pelanggan.

"Setiap guni cocopeat ini dijual RM8 sekiranya pelanggan mengambil sendiri di bengkel, manakala RM9 termasuk kos penghantaran.

"Alhamdulillah sambutan terhadap cocopeat ini sangat menggalakkan kerana sudah ramai yang sedar akan manfaat penggunaannya dalam sektor pertanian.

"Saya melihat cocopeat ini semakin mendapat permintaan sehingga kami tidak menang tangan dan terpaksa mengambil sabut kelapa daripada luar untuk menghasilkannya," katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Kolam Mas, Gua Musang, Kelantan.

Mohd Amir berkata, dia kini mempunyai empat pekerja untuk membantu menguruskan bengkel memproses cocopeat.

"Cocopeat dihasilkan selepas melalui proses menggunakan dua mesin iaitu mesin pengisar dan mesin penapis sabut. Kemudian pekerja akan membantu membungkus cocopeat terbabit.

"Setiap hari kami akan mengasing dan membungkus 10 kilogram cocopeat kasar atau 20 hingga 30 kilogram pula untuk cocopeat halus ke dalam setiap guni.

"Selepas proses membungkus cocopeat selesai, pihak pembeli akan datang mengambilnya atau kami sendiri akan menghantar ke kawasan tertentu," katanya yang juga usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 6:45am
d