akademia

Pupuk minat membaca

Oleh Fazurawati Che Lah

Program Kembara Maklumat Books4Gifts adalah inisiatif daripada Program Read@Uni yang memberi fokus kepada pemantapan budaya membaca dalam kalangan anak golongan B40.

Malah program anjuran Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis itu bertujuan memupuk minat membaca, meningkatkan kemahiran mengesan dan meneroka maklumat serta memanfaatkan maklumat bagi meningkatkan kreativiti pelajar menghasilkan inovasi.

Ketua Pustakawan UniMAP, Mazmin Mat Akhir berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTSFP dan UniMAP untuk memupuk amalan membaca melalui perluasan bahan bacaan kepada warga komuniti memerlukan.

Katanya, program mingguan yang berlangsung setiap Rabu membabitkan 74 sekolah rendah di Perlis dengan diiringi guru pusat sumber sekolah dibawa meneroka koleksi, kemudahan dan perkhidmatan Perpustakaan Hibrid yang dibangunkan UniMAP.

“Aktiviti menarik disediakan termasuk Scavenger Hunts secara berkumpulan bertemakan History of Cars dengan carta bergambar ditaja Yayasan Bank Rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN) Perlis, Addnan Abd Hamid menyambut baik program itu yang bermanfaat kepada pelajar daripada golongan B40, selain berpeluang melihat suasana kampus.

“Mereka bukan sahaja dapat meneroka pengalaman baharu, malah dapat memperoleh bahan bacaan dari Sudut Books4Gifts yang dibekalkan kepada setiap peserta.

Bagi Pengerusi Kelab Pusat Sumber, Pusat Kegiatan Guru Tambun Tulang, Rosnita Ismail yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang, kebanyakan pelajar terdiri daripada anak nelayan dan petani.

“Melalui program ini, mereka dapat menikmati suasana perpustakaan akademik dan menyuntik semangat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh hingga ke menara gading bagi membela nasib keluarga pada masa hadapan.

Terdahulu Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir Dr R Badlishah Ahmad menekankan kepentingan program itu sebagai salah satu inisiatif Service Learning Malaysia (SULAM) yang bertujuan melimpahkan manfaat UniMAP kepada komuniti sekitar.

“Inisiatif ini bertujuan memberi pengalaman pembelajaran melalui teori dan praktis dengan berteraskan kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati selaras dengan hasrat kementerian.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 8:37am
d