akademia

Dedah inovasi teknologi robotik

Oleh Fazurawati Che Lah

BAGI memberi pendedahan awal terhadap teknologi robotik, lebih 200 pelajar dari daerah Mantin, Negeri Sembilan, menyertai bengkel robotik bagi merangsang inovasi serta pengalaman pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Projek bengkel dikenali sebagai STEM Robotik itu mendapat tajaan Yayasan Amal Tenaga (YAT) bagi menyokong perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Ketua Pegawai Eksekutif YAT, Mohd Marzuki Yasoa berkata, bengkel itu mampu mengukuhkan lagi kemahiran pelajar seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan pada masa akan datang.

Katanya, bengkel STEM Robotik YAT adalah antara kurikulum di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang memberi penekanan terhadap aspek kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang menarik serta menyeronokkan.

“Peserta diberi pendedahan untuk membina asas kukuh dengan menggabungkan matematik, sains, teknologi, reka bentuk serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melalui pengalaman amali atau penyelidikan.

“Peserta juga boleh membina pemikiran secara logik dan sistematik semasa mereka merancang serta melaksanakan program melalui pemprograman robot,” katanya.

STEM Robotik YAT diadakan di Kolej Genius Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Turut hadir, Pengarah Urusan Sinergi Ilmu Resources, Mohd Jaini Mohamad yang melaksanakan bengkel robotik tersebut.

Mohd Jaini memberitahu, bengkel robotik itu berlangsung di beberapa lokasi iaitu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak dan Sekolah Kebangsaan (SK) Beranang, Selangor, pada hujung bulan ini.

“Sistem pendidikan di seluruh negara akan mengalami perubahan hasil IR4.0. Jadi kita memerlukan sistem pendidikan yang lebih fleksibel dan bersedia mengharungi cabaran baharu supaya anak tidak terpinggir dalam era globalisasi digital dan meningkatkan lagi taraf hidup mereka pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, IR4.0 mewarnai gaya hidup dan tindakan masyarakat dunia yang memerlukan semua pihak bertindak pantas seiring pembangunan pesat dalam produk berteknologi serta sistem automasi pintar.

“Malaysia antara negara yang sedang bergerak ke hadapan dalam perkembangan IR4.0. Secara umumnya, ia membabitkan Internet of Things (IoT) atau Internet Kebendaan dalam hampir semua aspek kehidupan seharian yang menjurus kepada elektrik dan revolusi industri ketiga yang mementingkan penggunaan teknologi maklumat (IT).

“Contohnya, kini kita mula berbicara mengenai rumah pintar, kereta pintar, telefon pintar dan banyak lagi elemen pintar diterjemahkan dalam teknologi pintar melalui IR4.0.

“Malah, kini televisyen bukan sahaja sebagai media informasi dan hiburan, tetapi boleh berhubung secara langsung dengan manusia seperti mengesan ke mana sahaja manusia bergerak atau penggera,” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 12:54pm
d