akademia

Hidupkan budaya Malaysia

Oleh Fazurawati Che Lah

Art In The City (AITC) edisi kedua kembali mewarnai bulan ini dengan aneka seni menarik bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menghidupkan budaya Malaysia.

Program anjuran Agensi Ekonomi Seni Budaya (Cendana) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dijangka berlangsung dari 18 hingga 27 Oktober ini.

Pelbagai program dan aktiviti seni menarik serta lebih mudah dihayati orang ramai antaranya menampilkan tiga instalasi seni daripada artis Malaysia, pertandingan video, Lucky Pao Market, forum dan bengkel seni serta aktiviti sampingan yang bertujuan meraikan kepelbagaian seni, kreativiti, belas ihsan dan imaginasi rakyat Malaysia.

Hari pertama, program Karya Seni Arca dan Instalasi daripada idea artis Filemen, Joshua Teo dan Pamela Tan dipaparkan di sepanjang River of Life hingga Februari tahun depan.

Menariknya, terdapat bengkel seni arca yang dijalankan selama dua hari di RUANG by Think City, Kuala Lumpur dan kemasukan percuma untuk 30 orang terawal.

Bermatlamat meraikan kepelbagaian kreativiti, Cendana yang melancarkan pertandingan video I heART KL memilih lapan entri apabila pemenang akan menerima hadiah wang tunai dan video mereka ditayang di Lucky Pao Market, Sabtu ini.

Selain itu, di Jalan Raja akan ditransformasikan menjadi Bazar Seni Kreatif iaitu Lucky Pao Market mulai jam 5 petang hingga 11 malam untuk menghidupkan landskap sejarah Kuala Lumpur dengan kehidupan penuh kejutan, saat manis dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Lucky Pao Market juga menghimpunkan artis yang mahir dalam menghasilkan seni kraf tempatan, ciptaan kreatif, karya seni dan turut dimeriahkan dengan persembahan muzik

tempatan yang terbaik seperti Kyoto Protocol, Johny Comes Lately, Bihzhu dan Nadir.

Pengisian turut disertai forum dan bengkel yang bakal membincangkan peranan seni budaya di ruang awam, perkongsian amalan serta pengalaman terbaik di dalam negara, serantau dan antarabangsa.

Forum yang diadakan pada Ahad ini mulai jam 10 pagi hingga 5 petang menampilkan Nani Kahar, Dr Rosli Zakaria, Tetawowe Atelier, Aisyah Baharuddin, Lim Soo Ngee (Singapura), Ahmad Khairudin (Indonesia), Snow Ng dan dimoderasikan oleh Pang Khee Teik.

Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan bagi memeriahkan karnival itu antaranya Panggung Rakyat yang berfungsi sebagai platform seni awam di Jalan Raja bertujuan mendidik dan memperkasakan seni serta warisan budaya yang unik di Malaysia melalui satu siri persembahan tradisi dan bengkel interaktif, paparan serta perbincangan.

Sepanjang bulan ini, persembahan Tarian Ronggeng dari Nusantara Performing Arts Research Center (NusParc) turut diadakan, selain itu aktiviti berjalan-jalan atau Lawatan Galeri untuk menghayati kemeriahan di sekitar Kuala Lumpur.

Lebih menarik, orang ramai juga boleh menyertai pengembaraan Sketchwalk by KL Sketchnation dan alami pengalaman Art In The City dengan sketchbook.

Art In The City 2019 turut disokong Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Malaysia, Hop On Hop Off Bus, The Art Seni serta KL Sketchnation.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 11:15am
d