akademia

Asah celik IT

Oleh Fazurawati Che Lah

BIARPUN dunia kini serba moden, lebih 180 murid Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan (SKBL), Damansara Perdana, Petaling, Jaya, Selangor masih tercicir dalam bidang teknologi maklumat (IT) sehingga ada dalam kalangan mereka takut menggunakan komputer.

Hasil keprihatinan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak putus-putus terhadap kebajikan warga SKBL, 12 komputer diserahkan kepada sekolah itu untuk memberi pendedahan mengenai kemahiran IT.

Bagaimanapun, kesungguhan murid SKBL menerokai bidang IT belum sepenuhnya sehinggalah pada tahun lalu, Jawatankuasa Program Lifelong Learning IT (LIT) dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mendekati warga sekolah itu dengan menyediakan kursus khas IT.

Buat permulaan, lapan komputer diserahkan kepada SKBL dan untuk projek perintis itu, 20 murid Orang Asli dipilih menyertai kursus LIT selama sembilan bulan bermula Februari lalu.

LIT yang berakhir Oktober lalu membabitkan dua fasa pembelajaran IT yang disertai sembilan murid tahun empat dan 11 murid tahun lima.

Program LIT ialah latihan kursus komputer kepada anak Orang Asli bagi mempelajari penggunaan asas tiga perisian Microsoft iaitu Word, Powerpoint dan Excel.

Ketua Unit Teknologi Maklumat (ICT) MBPJ, Samsul Bahari Nonchi berkata, program latihan itu sebagai persediaan untuk murid berkenaan memasuki fasa sekolah menengah pada masa akan datang.

“Hasil temu bual bersama guru SKLB, didapati kanak-kanak Orang Asli kurang menyedari pentingnya pelajaran, malah ibu bapa juga tidak kisah sekiranya anak tidak bersekolah. Bagi mereka, belajar sampai tahun enam pun sudah cukup.

“Jadi, kita mahu ubah pemikiran itu melalui bantuan program LIT ini dan mendedahkan mereka kepada dunia luar dengan teknologi.

“Kami mahu buka minda kanak-kanak Orang Asli ini dengan pelbagai aktiviti menarik, selain LIT, kami turut membawa mereka ke KidZania supaya mereka turut didedahkan dengan pendidikan luar,” katanya.

Katanya, SKLB antara sekolah terpinggir dari segi sokongan untuk pembelajaran berbanding sekolah sekitar Damansara terutama membabitkan murid Orang Asli.

“Hasil pendedahan komputer membuktikan mereka menunjukkan minat. Kami berharap dengan adanya minat ini semangat anak Orang Asli untuk terus belajar tidak berhenti di situ saja, tetapi diteruskan ke peringkat lebih tinggi," katanya ditemui selepas Majlis Penganugerahan dan Penutup Program LIT di Perpustakaan Komuniti MBPJ, baru-baru ini.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Johary Anuar.

Johary dalam ucapannya berkata, program LIT bertujuan memperkasakan komuniti bagi mencapai kemampanan yang selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) iaitu pendidikan berkualiti.

“Pembaharuan pendidikan yang dirintis teknologi maklumat memberikan kesan positif terhadap budaya belajar di sekolah termasuk perkembangan minda dan pemikiran pelajar.

“IT khususnya penggunaan komputer di dalam bilik darjah membawa satu dimensi perkembangan intelektual dan kemahiran berfikir yang dinamis serta kreatif dalam kalangan pelajar,” katanya.

Katanya, program LIT turut tersenarai bagi 10 bandar di dunia yang menerima Anugerah Bandar Pembelajaran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) 2019.

Majlis turut diserikan dengan pemberian empat anugerah kepada pelajar mengikut kategori iaitu peserta cemerlang, kehadiran terbaik, penilaian purata terbaik dan hasil kerja terbaik.

Sementara itu, Guru Penyelaras Program LIT SKBL, Suzianah Abd Talib, berkata program LIT itu melengkapkan pembelajaran murid bagi subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).

Katanya, program LIT berjaya mencungkil minat dan kemahiran murid Orang Asli untuk mempelajari bidang IT apabila hampir semua murid yang menyertai kini mahir menggunakan komputer.

“Kanak-kanak ini memang tidak mempunyai pendedahan langsung mengenai komputer. Mereka

begitu teruja apabila pertama kali menyentuh komputer dan hampir setiap hari tidak sabar untuk belajar,” katanya.

Malah SKBL turut menjadi sekolah angkat MBPJ dalam menjayakan matlamat SDGs.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 10:18am
d