akademia

Berlari sambil bersongket

Oleh Fazurawati Che Lah

MANAGEMENT and Science University (MSU), Shah Alam, Selangor melalui Jabatan Student and Career Development (SCD) mengambil inisiatif menganjurkan International Songket Run 2.0 bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada warga MSU dan komuniti mengenai kepentingan menghargai warisan songket merangkumi pakaian, kraf tangan dan budaya.

Penganjuran edisi kedua larian itu turut bermatlamat untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) merangkumi pelaksanaan tujuh belas matlamat bagi pembangunan manusia sejagat.

Larian meliputi jarak sejauh lima kilometer di sekitar Seksyen 13, Shah Alam bermula dan berakhir di kampus MSU itu disertai 5,000 peserta dari pelbagai peringkat umur dan bangsa termasuk penuntut antarabangsa yang mengenakan pelbagai motif busana songket.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan perasmian larian berkenaan.

Turut hadir ialah Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, Presiden MSU dan Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid, Penganjuran International Songket Run 2.0 turut mencatat sejarah apabila disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai The Largest Participation In A Songket Running Event dengan jumlah peserta seramai 4,868 orang.

Pengiktirafan itu juga kesinambungan kepada pencapaian pada tahun lalu apabila MSU turut memperoleh rekod MBR berkaitan songket iaitu The Largest Number of People Wearing or Having Songket Elements As Part of Their Dressing yang disertai 4,878 peserta.

Pencapaian kali ini menjadikan rekod ke-36 MSU dalam MBR dan institusi pengajian tinggi paling banyak tersenarai dalam MBR.

Selain itu, acara turut mendapat kerjasama rakan industri MSU dalam bentuk penajaan strategik larian seperti MSU Medical Centre, LAC Medical, Alfana Studio, Spritzer BonRica, Noor Arfa dan Malaysian Songket.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 12:44pm
d