akademia

Basikal air 'bersih' sungai Melaka

Oleh Fazurawati Che Lah

UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkenalkan basikal air Smart Hydrobike bagi merealisasikan program Melaka Smart River dalam usaha menjaga kebersihan Sungai Melaka.

Inovasi basikal air berasaskan ‘Internet of Things’ (IoT) diperkenalkan bagi merealisasikan Sungai Melaka sebagai lokasi pelancongan baharu di negeri itu.

Menerusi program CSR Melaka Smart River baru-baru ini, Smart Hydrobike berjaya membantu membersihkan Sungai Melaka apabila mengutip 1,500 kilogram sampah.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, secara umumnya aktiviti itu antara usaha menyokong perancangan dan pelaksanaan inisiatif bandar pintar bagi membantu hala tuju negeri ke arah Melaka Bandar Pintar 2030.

Kata beliau, pelaksanaan itu juga selaras pelantikan UTeM sebagai Ketua Kluster bagi Kelestarian Alam Sekitar dan Penjanaan Sumber Tenaga Boleh Diperbaharui Negeri Melaka.

Katanya, program itu turut membuka peluang kepada penuntut menyumbang idea untuk mencipta produk baharu dan menarik bagi ekosistem Sungai Melaka, di samping meningkatkan kesedaran kepada komuniti setempat berkenaan kepentingan menjaga kebersihan sungai itu.

“Pelbagai aktiviti diadakan ketika program itu bagi menarik minat orang ramai untuk turut serta. Terdapat empat program utama yang dirancang iaitu Melaka River Fun Run, Marine Robot Challenge, Kayak River Cleanup dan Smart Hydrobike Innovation.

“Pada program itu juga diketengahkan ciptaan inovasi Smart Hydrobike,” katanya.

Menariknya, program itu dirasmikan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dalam majlis ringkas yang dihadiri 300 pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah sekitar Melaka termasuk 100 pelajar sekolah khas.

Turut hadir menjayakan program adalah Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UTeM, Profesor Dr Goh Ong Sing.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 10:33am
d