akademia

Program kukuh kemahiran KBAT 4,500 guru

YAYASAN Petronas, cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, melancarkan Program Duta Guru Kementerian Pendidikan Malaysia - Yayasan Petronas.

Ia untuk mengukuhkan kemahiran 4,500 guru yang berperanan sebagai guru teladan dalam Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Program ini disasarkan kepada tenaga pengajar yang giat dalam penyampaian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sebagai teras kepada membina daya saing Malaysia menjelang tahun 2030 di sekolah, terutama majoriti pelajar terdiri daripada keluarga golongan berpendapatan rendah (B40).

Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, ketika merasmikan pelancaran program berkata, program Duta Guru akan melengkapkan guru dengan pengetahuan, kemahiran serta daya fikir untuk menjadi seseorang pendidik STEM yang berkesan dan berimpak tinggi.

“Ini seiras dan seterusnya melengkapkan program i-Think Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertujuan membentuk kemahiran berfikir di dalam persekitaran pembelajaran dengan tujuan menghasilkan pelajar berfikiran kreatif, kritis dan inovatif,” katanya baru-baru ini.

Usahasama Yayasan Petronas dan Kementerian Pendidikan Malaysia, melalui Pusat STEM Negara ini, mempunyai tiga strategi utama iaitu latihan dan bimbingan; kandungan dan infrastruktur.

Sementara itu, Pengerusi Petronas dan Yayasan Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh berkata, Program Duta Guru dibentuk untuk membangunkan ‘educreators’ dari kalangan ‘educators’ kerana guru memainkan peranan penting dalam memupuk minat dan meningkatkan kecekalan pelajar dalam subjek STEM.

“Kami sedar betapa pentingnya usaha untuk meningkatkan kemahiran guru secara berterusan dengan sumber relevan selain selari dengan perubahan zaman Industri 4.0,” katanya.

Seramai 150 guru dipilih untuk menyertai kelompok pertama dan akan mendapat latihan kemahiran serta pedagogi selama dua tahun untuk memperkasakan KBAT.

Program Duta Guru ini juga akan memberi sokongan infrastruktur yang ditambah baik melalui STEM Hub yang ditempatkan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BPTN) dan Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian (PTPB).

Pada masa sama Program itu akan dikelolakan Petrosains di setiap negeri dan memberi guru akses kepada bahan sumber STEM bermutu tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman, berkata Yayasan Petronas akan terus melanjutkan usaha Petronas sepanjang 45 tahun lalu untuk memacukan kemajuan menerusi pendidikan.

“Kami percaya program yang memberi tumpuan kepada guru demi pembangunan masyarakat akan memberi impak yang besar bagi menjamin kesejahteraan dan meningkatkan daya saing negara di peringkat global pada masa hadapan,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 6:00am
d