akademia

Motivasi tuntut ilmu

Oleh Fazurawati Che Lah

SESI persekolahan 2020 bagi 674 pelajar Orang Asli di Perak, Pahang dan Negeri Sembilan bermula dengan penuh semangat apabila mereka menerima keperluan kembali ke sekolah yang lengkap menerusi kempen Cerahi Kehidupan Bersama TOP.

Sumbangan TOP merangkumi pakaian seragam, kasut, stoking, beg, alat tulis, buku latihan, buku kerja, buku aktiviti, bekalan alat seni dan kraf tangan serta alat muzik.

Kempen yang selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (MEB) 2013-2025 memberi penekanan untuk menambah baik pencapaian murid Orang Asli itu menerusi kerjasama kerajaan dan swasta merangkumi ibu bapa serta komuniti dalam usaha membantu mengubah sistem pendidikan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Profesor Dr Juli Edo memberitahu kempen itu membantu ratusan keluarga Orang Asli dan memberi motivasi kepada kanak-kanak supaya terus belajar di sekolah.

“Dari sektor swasta, TOP memberi sumbangan kembali ke sekolah yang cukup besar kepada komuniti Orang Asli. Sumbangan ini memberikan nilai tambah terhadap bantuan yang disediakan JAKOA kepada pelajar Orang Asli.

“Kerjasama strategik antara kerajaan dengan swasta memberi semangat positif kepada kanak-kanak, ibu bapa dan guru,” katanya.

TOP menjalankan kempen itu selama lima tahun untuk memberi motivasi kepada pelajar daripada komuniti kurang berkemampuan dan isi rumah B40 supaya mereka mencapai kecemerlangan dengan meningkatkan keyakinan diri dan harga diri.

Hingga kini, TOP yang dibangunkan Lion Corporation Japan membantu 2,474 pelajar menerusi kempen itu.

Pengurus Pemasaran (Divisyen Penjagaan Fabrik) Southern Lion Sdn Bhd, Ling Ai Li, berkata, sambutan orang ramai terhadap kempen itu sangat memberangsangkan dengan kutipan hampir tiga kali ganda daripada yang dijangkakan.

Katanya, pasukan TOP menyerahkan keperluan kembali ke sekolah di Pos Tenau dan mengadakan bengkel mencuci pakaian bagi berkongsi tip membersih serta mengekalkan kebersihan pakaian seragam mereka dengan baik.

“Kanak-kanak di Pos Tenau kreatif, berbakat dan bersemangat untuk berdikari.

“Kebolehan mereka termasuk kanak-kanak yang masih kecil untuk mencuci pakaian seragam dengan tangan patut dicontohi ramai. Mereka nyata membawa tagline Belum Bersih Sehingga Mikro Bersih dengan sepenuh hati,” katanya.

Setiap keluarga yang hadir menerima satu pek bahan pencuci TOP Super White Micro Clean Tech untuk digunakan di rumah.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Batang Padang Sektor Pengurusan Sekolah, Norazam Mat Isa, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tenau, Abu Yazid serta Tok Batin Pos Tenau, Yok Komlok Sentor.

Disiarkan pada: February 3, 2020 @ 10:15am
d