akademia

Pengalaman dimensi global

Oleh Zaiha Ahmad

KELAB Penerbitan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor buat julung kalinya mengadakan satu aktiviti kemasyarakatan di luar negara.

Aktif melaksanakan pelbagai program, kelab ini sering menganjurkan acara yang berkonsepkan buku.

Program yang diadakan baru-baru ini selama enam hari tertumpu di dua lokasi utama di Korea Selatan iaitu di Pulau Nami dan Seoul.

Aktiviti berkaitan buku kanak-kanak ini diadakan hasil kerjasama dengan pihak Naminara Inc, Korea Selatan dan Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY).

Seramai 14 wakil yang terdiri daripada warga FKPM universiti itu dan wakil MBBY iaitu Alimah Salam bersama-sama menjayakan aktiviti ini.

Bertemakan PUB2Society: We Publish the Future, program ini bertujuan mengglobalisasikan pengalaman pendidikan mahasiswa dari Program Penerbitan FKPM supaya hanya tidak tertumpu di dalam kelas semata-mata.

Selain dapat menambahkan dimensi antarabangsa dalam ijazah mereka.

Antara aktiviti utama yang diadakan di Pulau Nami adalah bercerita, merekabentuk buku dan pelancaran buku Adam Gets New Shoes.

Buku itu dihasilkan sendiri pelajar dan dilancarkan Ketua Pegawai Eksekutif Nami Island, Jeon Myeong Jun.

Pada masa sama, ia kemudian dihadiahkan kepada pihak Pulau Nami dan ditempatkan di Picture Book Library.

Melalui aktiviti merekabentuk buku pula, ia dijalankan bersama 30 kanak-kanak dari Natural Playscape, Pulau Nami.

Hasil daripada aktiviti ini, mahasiswa penerbitan akan menghasilkan buku menggunakan ilustrasi dan lukisan yang dihasilkan kanak-kanak itu.

Mahasiswa juga diberi peluang untuk mengadakan aktiviti bercerita di hadapan kanak-kanak Natural Playscape menggunakan buku cerita kanak-kanak yang dihasilkan melalui salah satu kursus di dalam program penerbitan itu sendiri iaitu Kursus Penerbitan Kreatif.

Selain itu, mahasiswa dan pensyarah yang terbabit turut membantu pihak Pulau Nami membuat data mengenai buku kanak-kanak dari Malaysia yang ada di International Children’s Library.

Mahasiswa dan pensyarah yang mengikuti program ini turut berpeluang bersua muka dengan generasi ketiga pemilik Pulau Nami iaitu Fred Minn dan Kenny Minn.

Fred berkongsi pendapat dan bercerita mengenai sejarah pulau itu yang pada awalnya dibeli datuknya.

Selain berkongsi minat dan tekad beliau dalam membangunkan pulau itu untuk menjadi destinasi kebudayaan dan literasi kanak-kanak, beliau turut mengutarakan pendapat dan pengalaman sepanjang terbabit aktiviti perbukuan kanak-kanak di seluruh dunia.

Penasihat Kelab Penerbitan FKPM yang juga penasihat projek, Shahnil Asmar Saaid menganggap program berkenaan adalah peluang terbaik untuk mahasiswa.

“Menariknya, program ini membantu mahasiswa untuk mengetahui lebih dekat ilmu berkenaan dunia penerbitan buku kanak-kanak secara global.

“Selain membuka peluang kerjaya melalui rangkaian organisasi profesional dan antarabangsa,” katanya.

Peserta juga berpeluang untuk melawat Anderson Picture Book Cemter dan Nami Concours Gallery.

Galeri ini menempatkan ilustrasi terbaik buku kanak-kanak yang tersenarai sebagai pemenang Anugerah Hans Christian Anderson iaitu pengiktirafan antarabangsa tertinggi diberikan kepada penulis dan ilustrator buku kanak-kanak dari seluruh dunia.

Dalam pada itu, ketua projek Afiqa Hazira berkata, program itu memberi banyak pengalaman dan ilmu kepada mahasiswa, sekali gus menambahkan pengalaman mereka untuk meningkatkan jati diri serta kemahiran sosial.

Selain di Pulau Nami, program ini turut mengadakan lawatan akademik ke syarikat penerbitan digital iWings di Seoul untuk mengadakan perbincangan bagi merealisasikan hasil penerbitan buku kanak-kanak ke platform eBuku interaktif.

Disiarkan pada: February 24, 2020 @ 7:00am
d