akademia

Tarik minat pelajar membantu

Oleh Fazurawati Che Lah

SEMUANYA gara-gara tanah kosong yang tidak sebesar mana. Namun kerana tanah itu jugalah yang membuatkan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fatimah Hashim, Taman Daya, Johor Bahru berjaya merubah warga sekolahnya ke arah lebih cemerlang.

Benarlah kata orang, tidak rugi berbakti kepada tanah. Selain dapat mengeluarkan peluh untuk menjaga kesihatan diri, hobi bercucuk tanam menjadi terapi yang menenangkan fikiran.

Itulah yang dialami kira-kira 1,700 warga sekolah itu sejak projek Sekolah Lestari di bawah Kelab Lestari menjalankan aktiviti tanaman sayuran dan buahan sejak tiga tahun lalu.

Lebih membanggakan, projek di bawah guru muda Mohd Izranuddin Jelani mampu meraih pendapatan sehingga RM30,000 sekali gus membantu kewangan sekolah dan pelajar memerlukan.

Menurut Mohd Izranuddin, apa yang membuatnya lebih terharu adalah prestasi kecemerlangan akademik sekolah turut meningkat selama tiga tahun berturut-turut, selain berjaya memupuk semangat sukarelawan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Guru subjek Seni Visual itu berkata, sejak beliau berpindah masuk ke sekolah itu pada 2017, banyak perubahan dilakukan kepada warga sekolah terutama berkenaan pertanian.

“Projek tanaman ini diselia saya dengan bantuan 120 ahli Skuad Lestari terlatih terdiri daripada pelajar yang melakukan penggiliran kerja. Mereka ini tidak dipaksa tetapi datang secara sukarela membantu saya menguruskan tanaman pada sesi pagi dan petang” - Mohd Izranuddin

“Saya memang suka berkebun, apabila saya masuk ke sekolah ini saya lihat banyak tanah-tanah kosong sekitar sekolah terbiar begitu sahaja.

“Selepas mendapat sokongan daripada pengetua saya berjaya memenuhkan tanah itu dengan 500 pokok cili fertigasi, pokok durian belanda, pokok pisang tanduk, pokok limau kasturi, cendawan tiram kelabu, selain madu kelulut di mana hasil janaan pendapatannya dirasai warga sekolah,” katanya kepada Akademia, baru-baru ini.

Melihat kesungguhan guru itu bercucuk tanam, ia menarik minat pelajar yang secara sukarela membantu aktiviti pertanian seperti merumput, membaja, mencantas pokok dan menuai hasil yang dilakukan seawal jam 7 pagi sebelum waktu pembelajaran bermula.

“Projek tanaman ini diselia saya dengan bantuan 120 ahli Skuad Lestari terlatih terdiri daripada pelajar yang melakukan penggiliran kerja. Mereka ini tidak dipaksa tetapi datang secara sukarela membantu saya menguruskan tanaman pada sesi pagi dan petang.

“Apa yang saya lihat, pelajar mendapat satu keseronokan setiap kali menguruskan kerja pertanian seolah-olah menjadi terapi buat mereka, malah kemahiran luar bilik juga dapat diperkukuhkan, selain mereka seronok mempelajari banyak perkara baharu mengenai pertanian.

“Persekitaran lestari ini sebenarnya banyak mengubah pandangan dan keadaan sekolah, ini terbukti apabila pelajar lebih menghargai dan menyayangi alam, malah memberikan satu suasana tenang untuk proses pembelajaran,” katanya.

Menurutnya, kurikulum tersembunyi iaitu keusahawanan turut dilatih menerusi projek lestari itu apabila pelajar turut menjual hasil tanaman kepada peniaga di pasar dan orang ramai.

“Mereka pergi ke pasar dan berurusan sendiri dengan pemborong, kalau mereka dapat jual lebih daripada harga yang saya tetapkan, duit yang lebih itu mereka dapat.

“Ada juga yang ambil cili jual kat rumah, mereka pek dalam jumlah yang kecil dan jual. Ada yang dapat untung sampai RM30 sekali jual. Saya tidak kisah pasal duit, asalkan anak-anak ini mahu belajar sesuatu yang bermanfaat,” katanya.

Usaha berterusan oleh guru yang berasal dari Johor Bahru ini meninggalkan impak yang positif kepada warga sekolah terutama dari segi pencapaian akademik yang mana berlaku lonjakan prestasi kecemerlangan untuk sekolah itu.

“Sekitar 2016 dan 2017, pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah selalu berada pada ranking lima terakhir bagi daerah Pasir Gudang, namun sejak 2018 dan tahun lalu, ia terkeluar daripada senarai kedudukan itu dan sentiasa meningkat setiap tahun.

“Saya yakin, persekitaran menarik yang dibina dengan semangat kesukarelawanan daripada pelajar menjadikan keputusan akademik mereka semakin meningkat kerana sebahagian kecerdasan manusia salah satunya ialah natural,” katanya.

Kepakaran guru ini dalam bidang pertanian tidak disangkal lagi apabila dia kini turut dijemput untuk melakukan fertigasi tanaman di sekolah sekitar Johor melalui pakej tanaman.

Sehingga kini, lebih 30 sekolah menggunakan khidmat kepakarannya untuk menjalankan projek tanaman yang kini dilihat sebagai salah satu sumber pendapatan kepada sekolah.

Mohd Izharuddin memberitahu, dia juga menghargai pelajar yang sentiasa memberi sokongan dan membantu menguruskan kebunnya dengan membawa mereka bercuti secara percuma dan terkini, seramai enam pelajar dibawa ke Langkawi, Kedah.

Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 7:00am
d