akademia

Projek ternakan udang

Oleh Fazurawati Che Lah

KESALAHAN yang dilakukan ketika usia dan pemikiran masih mentah menyebabkan pesalah juvana ‘terhukum’ seumur hidup.

Bukan mudah untuk memulakan kehidupan baharu apabila rekod jenayah tercatat dalam kamus hidup seorang pesalah.

Prihatin dengan hal ini, dua pensyarah muda Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menggabungkan kepakaran mereka membantu pelatih di Sekolah Tunas Bakti (STB), Sungai Besi, Selangor mempersiapkan diri untuk berdikari apabila dibebaskan kelak.

“Mereka ini masih boleh berbakti kepada komuniti,” kata Dr Aidilla Mubarak yang menjalankan projek penternakan udang galah bersama pesalah juvana di STB.

Menurut Dr Aidilla, pelatih itu juga wajar diberi peluang membina potensi diri melalui kemahiran untuk membolehkan mereka berdikari sebaik keluar dari pusat juvana itu.

Projek yang menerima dana RM10,000 melalui geran Knowledge Transfer Assimilation Grant 2019 (KTAG 2019) turut mendapat kepakaran Dr Nur Aidya Hanum Aizam yang juga pensyarah matematik.

“Kami menggabungkan kepakaran masing-masing dengan Dr Nur Aidya membantu penghasilan formula makanan udang bagi memastikan keperluan nutrisi udang galah dipenuhi dengan kos yang optimum.

“Manakala saya membuat kajian berkenaan pembuatan makanan udang yang berkualiti dan kos rendah dengan menggunakan sisa tanaman terbuang,” katanya ketika dihubungi Akademia Harian Metro, baru-baru ini.

Dr Aidilla berkata, projek yang dijalankan Februari tahun lalu kini memasuki pusingan kedua dengan jumlah untuk tuaian musim lalu sebanyak 3,000 udang galah yang disumbangkan UMT.

Beliau berkata, bagi pusingan kedua, sebanyak 5,000 udang galah akan dimasukkan dengan tambahan dua lagi kolam ternakan.

Katanya, hasil jualan udang galah pula diserahkan sepenuhnya kepada STB.

“Sebenarnya, bagi projek ini, kami menerima pelawaan daripada pengetua STB iaitu Muhammad Razmee Abd Razak yang meminta kami berkongsi pengetahuan dalam penternakan udang galah.

“Sesuai dengan matlamat gedung ilmu iaitu proses penyampaian ilmu, kami membantu mereka dengan kepakaran yang ada untuk memastikan penternakan udang ini berjaya dengan menitikberatkan kepada persekitaran pembesaran udang itu,” katanya.

Usaha yang dilakukan dua pensyarah itu bukan terhenti di situ sahaja, sebaliknya mereka turut membawa rakan industri yang pakar dalam ternakan udang galah iaitu Koperasi Desa Muara Hujung Rintis, Kampung Gajah Berhad.

Dr Aidilla berkata, pihak koperasi turut berbesar hati untuk mewujudkan platform peluang pekerjaan dan perniagaan kepada pelatih STB berasaskan ilmu ternakan udang galah.

“Ilmu yang diperoleh melalui projek ini menjadikan pelatih seorang yang berdikari dan melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk komuniti,” katanya.

Menyifatkan perkongsian ilmu dengan pelatih itu agak unik, Dr Aidilla akan meneruskan projek ternakan itu dan menaik taraf kaedah penternakan.

Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 6:10am
d