akademia

Pengalaman lihat organisma hidup

Oleh Fazurawati Che Lah

MIKROBIOLOGI adalah bidang sains berkenaan kajian organisma hidup yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, seperti bakteria, protozoa, parasit, virus dan fungi.

Organisma hidup itu hanya boleh dilihat menggunakan mikroskop yang membesarkan objek.

Pengalaman melihat organisma hidup itu dibawakan sekumpulan sukarelawan Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur kepada 35 penghuni Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang, Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Penghuni rata-rata berusia empat hingga 17 tahun begitu teruja dan gembira menggunakan alatan sains itu yang kebanyakannya pertama kali memegang mikroskop.

Pensyarah Kanan Institut Sains Biologi, UM, Dr Khanom Simarani, berkata program berkenaan untuk menyediakan platform interaksi yang kondusif kepada mahasiswa program mikrobiologi mendekati segmen masyarakat yang memerlukan.

“Ini adalah selaras dengan kehendak kementerian yang ingin melihat proses pembelajaran yang holistik melalui konsep service learning.

“Mereka bukan sahaja mendekati semua penghuni rumah kebajikan, malah berinteraksi dengan kariah Surau Al-Falah yang terletak di Kampung Melayu Sri Kundang dengan menjalankan pelbagai aktiviti komuniti,” katanya.

Dr Khanom berkata, melalui program itu, kemahiran bersosial dalam kalangan penuntut berjaya diserapkan selain sukarelawan menerima manfaat daripada aspek penganjuran program dan penggunaan amali ilmu mikrobiologi yang dipelajari di kampus.

“Saya pasti analisis refleksi diri daripada setiap sukarelawan mampu menunjukkan perubahan positif dan membantu penghasilan golongan mahasiswa yang bersifat holistik,” katanya.

Program itu disertai 16 sukarelawan dari Institut Sains Biologi yang terdiri daripada mahasiswa tahun pertama.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah gotong-royong dan perlumbaan explorace bertemakan sains mikrobiologi yang dilaksanakan secara berkumpulan.

Menariknya, penghuni pusat jagaan itu berpeluang menggunakan mikroskop yang dibawa khusus dari UM untuk program ini.

Sukarelawan, Nurul Hanisah Abdul Malik berkata, perkongsian bersama penghuni pusat jagaan itu sedikit sebanyak menimbulkan minat mereka untuk mendalami subjek sains di sekolah dan meneruskan pengajian dalam bidang mikrobiologi satu hari nanti.

“Walaupun pengisian program ini mungkin kelihatan mudah, namun impak proses pembelajaran yang dilalui dapat dilihat secara langsung, terutama kerjasama daripada rakan sekuliah yang bukan hanya terdiri daripada pelajar Melayu tetapi pelajar antarabangsa dari China,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 6:30am
d