akademia

Urus penuntut pulang

Oleh Fazurawati Che Lah

MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) adalah salah satu organisasi mahasiswa tertinggi di universiti untuk melahirkan penuntut yang mampu menjadi pemimpin dan individu cemerlang dalam segala aspek demi kebaikan.

Bukan sahaja dalam kalangan mahasiswa universiti, malah untuk negara pada masa depan.

Peranan itu terbukti menerusi Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (MPPUTM) yang komited melaksanakan penghantaran pulang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari Zon Selatan ke seluruh Malaysia.

MPPUTM diberikan tanggungjawab untuk menyiapkan pangkalan data bagi semua mahasiswa IPT yang bertempat di Zon Selatan yang mencecah sehingga 7,648 orang.

Yang DiPertua (YDP) MPPUTM, Ahmad Muzammil Zulkiffli berkata, pihaknya diberikan tugasan berkenaan bagi kegunaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguruskan penghantaran pulang penuntut.

"Bagi penghantaran pulang pelajar ke Zon Tengah, kami mengambil inisiatif membuat panggilan secara terus kepada 371 pelajar untuk memastikan mereka ada di kolej kediaman masing-masing dan tidak pulang dengan kenderaan sendiri," katanya.

Selain membantu menyediakan pangkalan data maklumat penuntut yang terbabit dihantar pulang mengikut zon yang ditetapkan, pihaknya juga dipertanggungjawabkan untuk menguruskan penuntut yang memilih untuk pulang dengan kenderaan sendiri.

"Bagi yang memilih untuk pulang dengan kenderaan sendiri pula, kami mengaturkan pemeriksaan kesihatan bagi mereka di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum ke peringkat seterusnya iaitu pengeluaran surat kebenaran pulang oleh UTM.

"Surat kebenaran untuk pulang hanya dikeluarkan jika suhu badan mereka berada di bawah paras 37 darjah Celsius.

"Sekiranya suhu badan yang direkodkan adalah tinggi atau mempunyai beberapa simptom lain seperti batuk, demam dan selesema, maka penuntut itu akan terus dirujuk ke hospital serta tidak dibenarkan pulang," katanya.

Dalam kesibukan urusan penghantaran pulang ini, ramai yang terlepas pandang bahawa masih terdapat pelajar UTM yang tinggal di luar kampus.

"Di sini letaknya tanggungjawab kami yang ketiga iaitu menguruskan pelajar yang tinggal di luar kampus untuk menyertai program penghantaran pulang bersama-sama dengan rakan mereka yang tinggal di kolej kediaman," kata Ahmad Muzammil.

Katanya, penuntut yang tinggal di luar kampus ini akan menerima panggilan telefon meminta mereka untuk menunggu di Pejabat Alumni UTM dan seterusnya ke Dataran UTM untuk menyertai rakan mereka yang lain.

"Ketika di dataran, pelajar luar kampus ini juga akan menerima surat kebenaran sebagaimana rakan lain dan pemberian surat ini tertakluk kepada bacaan suhu badan serta keadaan kesihatan semasa.

"Setiap barangan yang dibawa pelajar termasuk beg pakaian akan melalui proses sanitasi yang dikendalikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum pelajar dibenarkan untuk menaiki bas," katanya mengakhiri perbualan.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 6:15am
d