akademia

Rindu beraya di negara sendiri

Oleh Fazurawati Che Lah

SETIAP negara ada cara tersendiri menyambut Syawal sebagai tanda kemenangan bagi umat Islam di seluruh dunia selepas sebulan berpuasa.

Suasana itu turut dirasai penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Ika Indrawaty Hamzah dari Indonesia yang merindukan daerah dan tradisi beraya di negara tercintanya.

"Tradisi hari raya di Indonesia berbeza di setiap daerah dan suasana beraya sangat luar biasa.

"Malah tradisi 'malam takbiran' juga dilakukan dengan mengumandangkan takbir pada malam hari raya.

"Penduduk berada di jalan, masjid atau berarak dengan kereta untuk bertakbir diiringi 'tabuhan' (pukulan) beduk menandakan kebersamaan Muslim pada hari raya, katanya.

Katanya, sama seperti Malaysia, Indonesia juga mengamalkan tradisi balik kampung yang dikenali sebagai mudik bagi orang yang merantau dengan pengangkutan awam seperti bas, tren, kapal terbang atau kenderaan peribadi.

"Begitu juga dengan tradisi halal bihalal atau silaturahim sesama keluarga terdekat, bersalaman dengan ibu bapa untuk memohon maaf.

"Tidak dilupakan juga Tunjangan Hari Raya yang biasa diberikan dalam bentuk wang atau bahan makanan. Orang yang bekerja memberi barang keperluan raya seperti gula, majerin dan gandum.

"Manakala salam 'temple'iaitu duit raya turut diberikan kepada anak-anak, katanya.

Ika Indrawaty mengakui turut merindui juadah istimewa pada hari lebaran antaranya ketupat, burasa, coto Makassar, nasu lekku, tapai ketan dan barongko.

"Ketupat ini biasa dihidangkan bersama lauk atau makanan bersantan yang dibuat sehari sebelum raya.

"Burasa pula yang diperbuat daripada beras dan santan dibungkus dengan daun pisang dimasak dari pagi hingga petang.

"Kita ada coto Makassar yang dibuat daripada daging sapi dan berkuah, nasu lekku sejenis hidangan ayam berempah yang dibalut kelapa yang dicampur lengkuas parut.

"Tapai ketan pula dibuat tiga hari sebelum raya begitu popular di daerah Bugis, barongko pula dibuat daripada pisang yang sudah dicampur dengan santan, telur dan dikukus menggunakan daun pisang. Rasanya manis sebagai pencuci mulut, katanya.

Sementara itu, penuntut dari Iraq, Sarmed Jamal Ahmed dari Baghdad, menyambut Ramadan lalu dengan penuh kesyukuran walaupun dunia berdepan pandemik Covid-19.

"Keadaan Ramadan tahun ini sangat berbeza berbanding sebelum ini, suasana sunyi kerana ramai penuntut tempatan pulang ke kampung halaman ekoran pandemik Covid-19, katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 6:15am
d