akademia

Dah biasa kerja berhabuk

Oleh Fazurawati Che Lah

PEKERJAAN di tapak pembinaan dan pembuatan semakin mendapat perhatian dalam kalangan wanita meskipun ia didominasi lelaki selain berisiko dari sudut keselamatan.

Mahu membuktikan setanding dengan keupayaan lelaki, Pengurus Projek Asyhra Electrical & Services Sdn Bhd, Ainul Asyhra Mt Aris, 28 mencabar diri melakukan kerjaya lasak dalam bidang pendawaian sejak enam tahun lalu.

Ainul Asyhra berkelulusan GIATMARA dalam jurusan Pendawaian Elektrik Tahap 3 dari GIATMARA Batu, Gombak, Selangor tidak menyangka mampu membabitkan diri dalam pekerjaan itu biarpun awalnya tidak mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

Katanya, kesungguhan dan minat terhadap tugasan berat membuatkan anak muda itu mahu meneruskan kerjaya lasak berkenaan yang dianggap bukan lagi milik dunia lelaki semata-mata, sekali gus mahu meneruskan legasi syarikat milik bapanya, Mt Aris Mohamad, 60.

"Awalnya saya tidak yakin untuk melaksanakan tugasan itu kerana tidak mempunyai pengetahuan berkaitan pendawaian.

"Saya juga tidak pernah didedahkan mengenai kerja pendawaian elektrik kerana sebelum ini saya mengambil kursus dalam bidang ukur tanah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

"Bayangkan macam mana saya mahu gunakan ilmu dalam ukur tanah ke bidang pendawaian yang mempunyai skop kerja yang jauh bezanya," katanya.

Atas dorongan ibu tercinta, Noraini Anuar, 59, yang mahu melihat dia meneruskan legasi syarikat bapanya, Ainul Asyhra nekad untuk menyambung pengajian dalam jurusan pendawaian elektrik di GIATMARA.

Ainul Asyhra berkata, beliau tidak menghadapi masalah diskriminasi jantina biarpun dikelilingi lelaki dan menjadi pelajar tunggal perempuan dalam kelas dan pengurus projek di tapak binaan.

"Pekerjaan ini memerlukan saya bijak membuat keputusan, selain memastikan setiap alatan dan bahan pendawaian tidak dibazirkan serta siap dalam tempoh yang dijanjikan.

"Bekerja dalam keadaan berhabuk itu sudah biasa kerana banyak membabitkan kerja menebuk dinding untuk memasukkan dawai elektrik.

"Semua itu memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang kuat," katanya.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, menyedari ilmu dalam bidang pendawaian masih cetek, namun dia beruntung kerana banyak dibantu bapanya selain daripada pembekal peralatan khususnya mengenai fungsi alatan.

Katanya, pengalaman menerima projek dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) antara yang paling mencabar biarpun menerima bayaran yang lumayan sehingga jutaan ringgit.

Projek HKL itu membabitkan pendawaian sistem telekomunikasi di bangunan baru iaitu Hospital Wanita dan Kanak-kanak yang mempunyai 11 tingkat.

"Bayangkan bagaimana saya hendak mengawal penyambungan pendawaian sebanyak 1,007 operator ke satu pencawang.

"Untuk satu tingkat, saya perlu uruskan kerja kabel telefon selama satu hingga dua bulan bergantung kepada keadaan kerana pada masa sama terdapat pesakit di wad berkenaan.

"Keselamatan mereka juga perlu diutamakan selain memastikan mereka tidak terganggu dengan kerja pendawaian yang dilakukan. Pada masa itu, kesabaran perlu tinggi kerana perlu menguruskan dua situasi berbeza dalam satu masa," katanya.

Katanya, kerjasama pekerja penting dalam memastikan kerja pendawaian dilaksanakan dengan baik dan siap mengikut tempoh dirancang.

Oleh itu katanya, dia lebih bersikap terbuka dengan pekerja dan tidak memberikan tekanan supaya kerja yang dijalankan dibuat dengan seronok.

"Kadang-kadang saya kena mengendalikan 15 pekerja untuk satu-satu projek, setiap pekerja ada ragamnya sendiri.

"Apa yang saya amalkan saling menghormati antara satu sama lain supaya kerja yang dipertanggungjawabkan itu siap dan yang penting pekerja saya tidak tertekan, walaupun saya lebih muda daripada mereka, saya tetap menghormati keputusan pekerja," katanya.

Mengenai perancangan pada masa akan datang, Ainul Asyhra berhasrat untuk mengembangkan lagi skop perkhidmatan yang ditawarkan syarikat bapanya bersama tiga lagi adik-beradiknya yang turut terbabit sama dengan perniagaan itu.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 7:00am
d