akademia

Utama inovasi pendidikan tinggi

Oleh Fazurawati Che Lah

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) sentiasa menitikberatkan pembangunan dan transformasi mahasiswanya dalam usaha menjadikan graduan mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi melalui pelbagai program latihan, persediaan kemahiran dan bakat supaya mereka bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja semakin kompetitif masa kini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr Aldrin Abdullah berkata, USM sentiasa berusaha menyediakan pendidikan buat mahasiswa seiring dengan kemahiran dan pembangunan bakat yang diperlukan di pasaran kerja kelak.

Ini kerana pihaknya amat percaya bahawa inovasi pendidikan tinggi adalah penting dalam mentransformasi mahasiswa menjadi graduan yang boleh bekerja.

Katanya, pendidikan tinggi sekarang berusaha menyediakan mahasiswa sebagai produk akhir yang berguna untuk kerjaya atau pekerjaan masa depan dan menjadi matlamat utama USM bagi melengkapkan mahasiwa dengan modul, kemahiran dan tingkah laku diperlukan dalam pasaran kerja apabila bergraduasi kelak.

"Pada masa yang sama, selain usaha USM terhadap perkara terbabit, mahasiswa juga sepatutnya bijak menghadapi perubahan dan dapat menangani cabaran masa hadapan melalui peningkatan kemahiran berfikir secara kritis, kemahiran berkomunikasi dan mencetuskan idea kreatif dalam menangani perubahan serta cabaran dalam kerjaya kelak," katanya.

Dr Aldrin berkata demikian ketika hadir mewakili Naib Canselor meraikan majlis makan malam Sekretariat Penganjuran Career Fair 2020 bersama wakil industri di Ixora Hotel Perai, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Katanya, USM berharap mahasiswa dapat memahami, menghayati dan memanfaatkan agenda graduan H.E.B.A.T (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate and Thinking) dan O.B.E. (Outcome Based Education) untuk melengkapkan diri dengan kemahiran semasa dan relevan buat pasaran kerja di masa hadapan.

"Kita bersyukur melalui pelbagai usaha dilakukan, pada tahun 2019, kadar kebolehpasaran graduan USM adalah sebanyak 90.4 peratus dan USM percaya pemain industri yang hadir menjayakan Career Fair USM saban tahun memainkan peranan penting dalam pencapaian ini," katanya.

Pada majlis yang sama, Dr Aldrin turut menyampaikan penghargaan kepada Penaja Platinum buat kali kedua kepada Micron Semiconductor (M) Sdn Bhd, Penaja Emas iaitu Western Digital, Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd, Greatech Integration (M) Sdn Bhd dan Nexperia Malaysia yang menjayakan Career Fair USM 2020.

Turut hadir adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr Nor Azazi Zakaria; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM merangkap Penasihat Career Fair USM 2020, Profesor Dr Mohd Fadzil Ain dan Pengarah Projek Career Fair USM 2020, Albert Wong Jia Hui.

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 6:30am
d