akademia

Ziarah tanda prihatin

Oleh Fazurawati Che Lah

PELAJAR yang tidak menyerlah di sekolah dikatakan seolah-olah tidak diberi perhatian atau dianggap kurang mempunyai harapan dan masa depan.

Golongan ini sebenarnya memerlukan perhatian daripada semua pihak supaya rasa lebih dihargai dan mampu untuk cemerlang dalam pembelajaran seperti pelajar lain.

Untuk menangani masalah sosial itu secara holistik, sewajarnya kumpulan pelajar ini perlu didekati bagi memahami latar belakang keluarga mereka, mendalami tingkah laku, merasai denyut kehidupan di rumah dan lain-lain bantuan yang diperlukan.

Program Ziarah Cakna yang diadakan setiap tahun itu antara satu aktiviti amalan guru penyayang bagi berkongsi perkembangan menyeluruh berkaitan pelajar bersama ibu bapa atau penjaga mereka.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Reko, Maimun Mohamed berkata, Program Ziarah Cakna menjadi pentas bagi guru dan ibu bapa berkongsi perkembangan menyeluruh berkaitan pelajar, memahami latar belakang keluarga dan berkongsi pandangan bagi memastikan kemenjadian pelajar.

Beliau berkata, bukan pelajar bermasalah saja akan diziarah tetapi dalam konteks baharu, pihak sekolah mahu mengetengahkan nilai saling hormat dan menyemarakkan budaya kasih sayang.

"Pihak sekolah termasuk saya akan berkunjung ke rumah pelajar dan berjumpa dengan keluarga untuk mengetahui apa yang menyebabkan pelajar itu bermasalah dan mencari penyelesaian supaya pelajar itu boleh cemerlang.

"Berdasarkan data yang diperoleh ini, pihak sekolah akan mengambil tindakan lanjut untuk memantau pelajar berkenaan sehingga mereka cemerlang dan tamat persekolahan," katanya ketika ditemu bual selepas Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM), di sini, baru-baru ini.

Program itu dimulakan dengan melawat dua pelajar SMK Jalan Reko bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal, Yang Berhormat, Encik Mazwan Johar, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Arbain Pinni, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Hal Ehwal Murid Sektor Pembangunan Murid, PPD Hulu Langat, Basarudin Bahaman dan Pegawai Perhubungan Sekolah, Asisten Superintendan (ASP), Khairulrahman Rahmat.

Beliau berkata, pelajar yang bermasalah harus dibantu seperti anak sendiri kerana mereka perlu dihargai supaya dapat berjaya dan cemerlang seperti pelajar lain.

"Menerusi inisiatif sendiri, pihak sekolah akan membuat pemantauan secara berterusan kepada pelajar yang dikenal pasti bermula tingkatan satu hingga tingkatan lima.

"Kita akan mendekati, membantu dan memberi perhatian kepada mereka sehingga berjaya dalam akademik, sekali gus meningkatkan pembangunan diri, sahsiah dan kecemerlangan," katanya.

Program Ziarah Cakna anjuran Kementerian Pendidikan mampu merapatkan jurang antara ibu bapa, penjaga dan pihak sekolah.

Bagi suri rumah, Eabidah Shafeei, program berkenaan akan membuka ruang bagi guru untuk lebih mendalami tingkah laku, merasai masalah pelajar di rumah dan berkongsi perkembangan pembelajaran mereka.

Beliau berkata, program berkenaan memberi manfaat positif kepada perkembangan menyeluruh anaknya dan seharusnya dapat dijadikan amalan kerana pelajar akan rasa dihargai dan lebih bersemangat untuk hadir ke sekolah.

"Anak saya mempunyai masalah disiplin sejak tingkatan satu, namun hasil didikan guru di sekolah dia mampu berubah dan menunjukkan minat untuk hadir ke sekolah .

"Saya berharap program ini dapat diteruskan supaya pelajar yang mempunyai masalah dapat dididik, diberi perhatian supaya mereka dapat berubah dan lebih cemerlang dalam pembelajaran," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Baginya, Program Ziarah Cakna yang membabitkan pengetua dan guru itu bagaikan satu penghargaan kepada anaknya dan rasa lebih dihargai.

Sementara itu suri rumah, Haslina Sulaiman pula berkata, anaknya yang bekerja di kedai burger berhampiran rumahnya tidak menunjukkan minat untuk belajar selepas tidak hadir ke sekolah selama hampir dua minggu berturut-turut.

"Saya sering menasihatinya untuk hadir ke sekolah, namun hasil duit poket membantu rakannya berniaga menjadikan anak saya lebih suka bekerja berbanding ke sekolah.

"Program ini mampu memberi semangat kepada anak saya untuk hadir ke sekolah selepas pengetua dan guru-guru sendiri berkunjung ke rumah untuk bertanya khabar dan melihat perkembangannya," katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 7:00am
d