akademia

UPSI ada kualiti

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini giat menyusun strategi melahirkan graduan yang mampu memenuhi kriteria sebagai tenaga pengajar di sekolah antarabangsa.

Ia berikutan kejayaan graduannya yang dipilih menjadi tenaga pengajar di salah sebuah sekolah antarabangsa Highlands International Boarding School (HIBS) menerusi sesi temu duga yang diadakan di UPSI, baru-baru ini.

Menerusi temu duga itu, HIBS menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan UPSI sebagai guru bagi subjek Teknologi Maklumat (IT), Matematik, Fizik, Kimia dan Bahasa Mandarin.

Sesi temu duga itu dijalankan empat wakil HIBS iaitu Pengetuanya, Leow Kim Hin, Pendaftar Patrick Sta Maria, Pengarah Akademik Rasamah Rengasamy serta pengurus sekolah berkenaan, Low Sow Long.

Patrick Sta berkata, sebelum ini HIBS pernah mengambil graduan UPSI bekerja sebagai guru dan berdasarkan kualiti yang ditonjolkan, tahun ini sekali lagi pihaknya ingin menyambung tradisi dengan meletakkan graduan UPSI dalam barisan guru-guru HIBS.

"Walaupun pencapaian akademik yang cemerlang menjadi kriteria penting dalam pemilihan guru pada peringkat awal, namun kemahiran komunikasi yang baik, keupayaan dalam kawalan kelas dan sikap rajin turut menjadi faktor penting membolehkan calon diambil bekerja sebagai guru.

"Kami sudah mengenal pasti dan menyenarai pendek beberapa calon yang menghadiri temu duga serta berpotensi untuk dipanggil menghadiri sesi percubaan mengajar di HIBS kelak," katanya.

Sesi temu duga berkenaan adalah inisiatif Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) dalam mendedahkan graduan UPSI dalam bidang pendidikan kepada peluang pekerjaan di sekolah swasta, persendirian dan antarabangsa.

Sementara itu, Pengarah EDGE UPSI, Dr Sharul Effendy Janudin mengucapkan penghargaan kepada HIBS kerana mengiktiraf kualiti graduan UPSI dengan menawarkan peluang pekerjaan.

"Ini selari dengan visi UPSI untuk menjadi Universiti No 1 Pendidikan sekali gus membuktikan bahawa sekolah swasta juga antara prospek majikan yang amat membantu graduan untuk memulakan kerjaya sebagai pendidik," katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2020 @ 6:45am
d