akademia

Peluang keemasan pelajar tajaan

Oleh Suliati Asri

MELANJUTKAN pengajian di luar negara dalam jurusan yang diminati pastinya impian semua pelajar.

Apatah lagi pembiayaannya dalam bentuk biasiswa dibiayai sepenuhnya syarikat besar yang turut menyediakan jaminan pekerjaan selepas tamat pengajian. Ia nyata peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan begitu saja.

Namun, untuk memperoleh biasiswa itu, ia bukan sesuatu yang mudah sebaliknya memerlukan usaha dan kegigihan pelajar dalam pelbagai aspek selain daripada mendapat keputusan cemerlang.

Dari kesinambungan itu, pendidikan satu daripada empat teras utama di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Permodalan Nasional Berhad (PNB) di samping Literasi Kewangan, Peningkatan Taraf Hidup Masyarakat dan Inisiatif Perkongsian Pengetahuan.

Justeru, bagi merealisasikan matlamat Teras Pendidikan, PNB terus menaja pelajar cemerlang bagi melanjutkan pengajian ke luar negara sama ada di United Kingdom atau Amerika Syarikat.

Penyediaan biasiswa pendidikan ini juga menyokong hasrat PNB membina barisan kepemimpinan masa depan untuk keperluan PNB dan juga negara.

Penerima Ahmad Mulhim Akmal Azim, 17, berkata dia sangat bersyukur kerana berjaya memperoleh biasiswa itu apatah lagi dimaklumkan PNB menerima banyak permohonan daripada calon cemerlang lain.

Katanya jumlah biasiswa yang ditawarkan PNB juga menjadikan biasiswa ini impian setiap pelajar negara ini.

"Pastinya tidak mudah untuk mendapatkan biasiswa dari PNB ini dan apabila mendapat tawaran, ia adalah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan.

"Impian untuk memulakan kerjaya sebagai Penganalisa Pelaburan di PNB dan jaminan pekerjaan sebaik tamat pengajian yang ditawarkan PNB antara sebab utama saya menerima biasiswa ini," katanya.

Menurutnya, selain memperoleh pencapaian tertinggi dalam bidang akademik, saya juga sangat aktif dalam perbahasan awam dan debat di sekolah serta pernah menerima pingat emas dalam perbahasan awam dan debat di peringkat antarabangsa.

"Saya sentiasa berpegang kepada prinsip biar apa juga cabaran yang mendatang, teruskan usaha demi mencapai cita-cita dan impian," katanya.

Addina Hasanah Amran, 17, pula cukup teruja kerana dapat meneruskan minatnya dalam bidang sains apabila diberi peluang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Aktuari menerusi biasiswa PNB itu.

"Selain ibu dan kakak yang menjadi sumber inspirasi, bidang Sains Aktuari ini juga sangat bersesuaian dengan minat serta personali

ti saya.

"Sepanjang tempoh persekolahan, saya banyak terbabit dalam projek Inovasi Sains termasuk mencipta dua projek inovasi bersama pasukan. Kami juga menyertai p

elbagai pertandingan dan hasil penyelidikan projek inovasi itu sudah diketengahkan kepada orang ramai," katanya.

Berkongsi mengenai perancangannya selepas menamatkan pengajian nanti, kata Addina, dia akan meneruskan bon pekerjaan di PNB dan pada masa sama akan mengembangkan potensi dengan kemahiran diperlukan syarikat.

"Saya percaya bahawa PNB sudah melakukan banyak inisiatif untuk mengembangkan bakat generasi muda. Oleh itu, saya berharap agar peluang yang disediakan PNB ini dapat disampaikan kepada generasi muda supaya mereka sedia maklum pelbagai peluang yang disediakan syarikat ini dalam bidang pendidikan.

"Bagi pelajar yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian sama ada di dalam mahupun luar negara dalam apa juga bidang pula, teruskan usaha dan gunakan setiap peluang yang ada sebaiknya," katanya.

Penerima ketiga Mohamad Shuffri Suhaidi, 17, yang berasal dari Kuching, Sarawak turut berasa gembira kerana diberi peluang bukan saja untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Daya yang diminati, tetapi juga dibiayai sepenuhnya biasiswa dari PNB.

Shuffri yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Data bersesuaian dengan minatnya dalam Sains berazam untuk memenuhi tanggungjawab sebagai pelajar tajaan PNB untuk turut berkhidmat dengan institusi yang berjaya di Malaysia.

"Saya meminati bidang pelaburan dan kewangan yang selari dengan matlamat utama PNB. Selain itu, peranan PNB sebagai wadah bagi mempertingkatkan taraf hidup warga Malaysia terutamanya golongan Bumiputera memberi saya peluang dalam menabur bakti kepada negara," katanya.

Sementara itu, ibu kepada Shuffri, Nor Izzati Pauline Abdullah berkata biasiswa PNB ini juga adalah peluang terbaik buat pelajar cemerlang negara kita untuk terus mengembangkan bakat mereka sebagai pemimpin masa depan.

"Saya juga syukur kerana biasiswa berkenaan membantu saya dalam menampung pembelajaran anak saya ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 6:05am
d