akademia

Asah bakat kepimpinan

Oleh Hartini Mohd Nawi

BEGITU meminati dunia kepimpinan mendorong penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Kewartawanan ini untuk terus aktif menyertai pelbagai program yang diadakan di dalam mahu pun luar kampus.

Anak kelahiran Kubang Kerian, Kelantan ini mendapat sokongan padu ibu bapa, adik beradik, keluarga dan rakan-rakan dalam meneruskan cita-citanya itu.

Ternyata Wan Arash Azzazi Johari, 23, bukan nama asing dalam kalangan penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.

"Sebaik saja melangkah ke menara gading, saya mencabar diri dengan menyertai pelbagai program yang dianjurkan pihak universiti mahupun luar.

"Antaranya menjadi Ahli Senat Universiti, sukarelawan untuk sukan tenis bagi paralimpik selain aktif menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Malah saya juga pernah menjadi pengarah untuk beberapa program contohnya Universiti Community Engagement (UCE)," katanya anak kedua daripada tiga beradik itu.

Menghuraikan lanjut berkenaan pembabitan aktif itu, Wan Arash Azzazi turut mengakui dia pernah mendapat 'Top 10' bagi 'Universiti Motivator competition,'

"Pada masa sama saya turut menjadi Duta Media Al-Jazeera, iaitu saya mengikuti kursus yang disediakan media terbabit hasil usahasama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.

"Tidak terkecuali berpeluang menjadi 'Liason Officer' kepada mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohammad dalam program Karnival Pendidikan Kerjaya dan Usahawan Muda Bumiputera (PUTRA 2018).

"Begitu juga pengalaman sebagai Naib Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam," katanya.

Melengkapkan ilmu kepimpinan, Wan Arash Azzazi dan rakan sejawatnya juga melakukan kunjungan hormat di beberapa kementerian bagi mengukuhkan hubungan mahasiswa, perwakilan dan kementerian.

Pada masa sama, kunjungan itu bagi menyampaikan maklum balas berkenaan isu semasa anak muda kepada kementerian dan ahli parlimen.

Dalam aktif menyertai pelbagai program, Wan Arash Azzazi sedikit pun tidak mengabaikan pelajaran sebaliknya anak muda itu beranggapan dia hanya berdepan cabaran pengurusan masa yang padat.

"Melihat kepada situasi ini, saya tidak seharusnya menganggap ia sebagai satu bebanan atau halangan untuk mencapai kejayaan sama ada pelajaran mahupun program yang disertai.

"Seharusnya, inilah waktu terbaik yang menguji kemampuan diri saya untuk mengimbangi pelajaran, program, hubungan kekeluargaan dan rakan taulan.

"Syukur saya dapat laluinya!," lontaran nada gembira penuntut kental itu.

Malah Wan Arash Azzazi turut memberitahu dia menjadikan Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien sebagai idolanya dalam kepimpinan.

Baginya, karakter idolanya itu jelas terserlah ketika negara berdepan situasi MH370 apabila Hishamuddin dilihat mengendalikan kes itu dengan tenang dan profesional serta berkarisma.

"Dalam kalangan belia pula saya menjadikan ahli parlimen Muar atau mantan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana memperjuangkan suara mahasiswa serta anak muda yang menjadi tunjang kepada negara.

"Beliau juga dilihat begitu dekat dengan golongan muda," katanya.

Menariknya, dia sering mencuri masa untuk menelaah surat khabar bagi mengetahui lebih terperinci berkenaan perkembangan semasa berbanding melayari media sosial semata-mata. Sesekali menonton filem antara yang dilakukan jika berkelapangan.

Berkenaan perancangan masa depan pula, dia kini mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dan ia antara inisiatif dalam membantu mahasiswa lain.

Mungkin juga dia mewarisi kepakaran daripada kedua-dua orang tuanya yang juga peniaga.

Melihat kepada setiap usaha gigih dan insiatif yang dilakukan itu, Wan Arash Azzazi nyata mengotakan prinsip hidupnya.

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian!

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 6:45am
d